Oleh Junaidi Ladjana

Kota Marudu: Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun dikhuatiri lemas selepas tergelincir ke dalam sungai ketika mandi bersama abangnya di Sungai pekan Lama, dekat sini, petang tadi.

Dalam kejadian pada 2.50 petang itu, mangsa Mohamad Sabri Saudi, 6, dikatakan sedang mandi bersama abangnya berusia lapan tahun pada cuti hujung minggu.

Bagaimanapun, ketika seronok mandi manda, mangsa dipercayai tergelincir dan gagal diselamatkan abangnya sebelum memaklumkan kejadian itu kepada bomba.

Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kota Marudu Rashid Sulaiman berkata, satu jentera bersama tujuh anggota termasuk pegawai dikejarkan ke lokasi kejadian sebaik menerima maklumat kejadian itu pada 2.56 petang.

"Sehingga kini mangsa masih belum ditemui dan operasi diteruskan sehingga jam 6.30 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 6:04 PM