Sandakan: Kejohanan Ragbi Borneo Tujuh Sepasukan bermula hari ini menyaksikan 32 pasukan dari 12 negara termasuk Malaysia berentap di Padang Kelab Ragbi Eagles di Bandar Utama IJM.

Kejohanan edisi ke-14 itu disertai kelab antarabangsa dan negara Asia Pasifik turut diiktiraf antara kejohanan utama ragbi di negara ini.

Pengerusi penganjur yang juga Presiden Kesatuan Ragbi Sabah Velayuthan Tan berkata, kejohanan itu terbahagi kepada kategori kelab pasukan lelaki dan bawah 16 tahun lelaki.

Katanya pasukan luar negara yang menyertai kejohanan itu termasuk Papua New Guinea, Samoa, Tonga, Fiji, Australia, China, Hong Kong, Jepun dan Singapura.

Menurutnya Malaysia diwakili kelab Borneo Eagles, ERC 7s, Angkatan Tentera Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM), Labuan Marlin, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), OSCA Warriors dan KK Sharks.

“Juara bertahan dua kali, Daveta dari Fiji turut beraksi untuk mendapatkan kemenangan hatrik kejohanan itu,” katanya.

Tan berkata, kejohanan ini antara pertandingan utama di Asia dan turut disertai pemain ragbi luar negara yang pernah menyertai kejohanan ragbi dunia antaranya dari New Zealand dan Fiji.

Dalam pada itu, bagi kategori kelab pasukan lelaki, pasukan bertanding adalah Daveta, Melbourne University, Borneo Eagles, Southern Lions, ERC 7s, Palmyra, OSCA Warriors, ATM, UPM, DBKL, Labuan Marlin dan KK Sharks.

Enam pasukan lelaki akan bersaing untuk Piala Asia Pacific Cross Regional Sevens iaitu China, Hong Kong, Tonga, Papua New Guinea, Sri Lanka dan Singapura.

Kategori wanita pula disertai lapan pasukan, China, Hong Kong, Jepun, Malaysia, Thailand, Melbourne (Australia), Papua New Guinea dan Samoa.

Kategori bawah 16 tahun lelaki disertai pasukan Kesatuan Ragbi Sabah, Sabah College, Kolej Vokasional Tawau, Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Southern Lions Outlaws (Australia) dan Sekolah Menengah Sains Lahad Datu. - BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 Februari 2015 @ 5:21 AM