Kuala Lumpur: Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua ditahan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi berhubung perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu.

Ahli Parlimen Batu itu ditahan polis jam 11.53 pagi semalam selepas hadir untuk merakamkan percakapan bagi membantu siasatan perhimpunan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Zainol Samah berkata, siasatan dilakukan mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan kerana perhimpunan itu menyalahi undang-undang.

“Sama ada beliau akan direman atau tidak, ia bergantung kepada siasatan lanjut hari ini (semalam),” katanya dalam kiriman aplikasi WhatsApp kepada media, semalam.

Tian Chua adalah individu ke-11 yang ditahan polis bagi membantu siasatan lanjut berhubung perhimpunan #KitaLawan.

Sebelum ini, turut ditahan ialah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Ketua Pemuda DAP Teo Kok Seong dan Ketua Pemuda PKR Nik Nazmi Nik Ahmad ditahan sebelum Nurul Izzah.

Antara aktivis yang ditahan kerana perhimpunan itu ialah Bendahari Pemuda PAS Mohd Fakhrul Razi, Setiausaha Agung PKR Rafizi Ramli, Koordinator Jingga 13 Mohd Fariz Musa, Ketua Pemuda PKR Kelana Jaya Saifullah Zulkifli serta aktivis, Adam Adli Abdul Halim dan Mandeep Singh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Mac 2015 @ 9:04 AM