KHALID bersama Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani (depan tiga dari kanan), Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron (kanan) serta barisan pelakon Kena Main.
KHALID bersama Ketua Pengarah IB Datuk Mohamed Juhari Shaarani (depan tiga dari kanan), Pengarah Urusan ITBM Mohd Khair Ngadiron (kanan) serta barisan pelakon Kena Main.

Tahun lalu, aktivis teater terkenal Khalid Salleh tampil dengan pementasan Monolog Jual Ubat di Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur yang mendapat sambutan membanggakan daripada penggemar teater.

Kali ini di lokasi yang sama, beliau yang mesra de­ngan panggilan Wak Khalid kembali de­ngan teater Kena Main yang akan dipentaskan 27 Mac ini hingga 5 April depan.

Ia juga teater pertama arahannya selepas kali terakhir tampil dengan teater Bangsat dan Benda Sulit pada 2005.

Kena Main yang diterbitkan bersama Istana Budaya dan Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) membariskan nama besar seperti Eman Manan, Sabri Yunus, Ebby Saiful, Sani Sudin, Azizah Mahzan, Mohd Rodhi Md Noor, Azman Hassan, Aida Othman serta penampilan istimewa Fauziah Nawi.

Biarpun Istana Budaya dianggap pentas berprestij oleh semua pihak, Khalid bersikap sebaliknya apabila beberapa kali menolak me­ngadakan persembahan di situ malah turut mengkritik pementasan yang diadakan di IB sebelum ini.

“Ini satu ujian untuk saya kerana sebelum ini kerap mengkritik pementasan di IB. Kali ini karya saya pula dipentaskan di IB. Ibarat­nya saya rasa macam pandai sangat dan sekarang giliran saya untuk buktikan kebolehan,” katanya dalam nada berseloroh.

Menurutnya, pemilihan pelakon bukan dibuat berdasarkan populariti sebaliknya bakat mereka.

“Eman dipilih bukan kerana status bintang tapi kerana bakat yang ada padanya. Saya pernah bekerjasama dengannya sebelum dia jadi bintang dan tak dinafikan dia seorang yang hebat,” katanya.

Khalid pada zaman remajanya tidak menerima sebarang pendidikan formal dalam bidang drama pentas, teater, muzik atau pengarahan. Dia memperoleh ilmu daripada pengalaman sekeliling.

Beliau menyertai Kumpulan Anak Alam pada 1975 dan pernah bergelumang menjual ubat di kaki lima di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur. Inilah antara pe­nyumbang yang memberikan idea buatnya menghasilkan Kena Main.

Kena Main mengisahkan kehidupan empat sahabat yang cacat penglihatan mencari rezeki dengan membuat persembahan nyanyian di kaki lima di Kuala Lumpur. Tema begini jarang sekali disentuh atau diketengahkan dalam drama TV, filem mahupun teater di IB.

“Saya mahu berkongsi perjalanan hidup golo­ngan ini yang gigih mencari rezeki serta tak putus asa dalam meneruskan kehidupan dalam kalangan masyarakat dengan penonton,” katanya.

Kena Main ditulis oleh Khalid pada 1989 dan pertama kali dipentaskan pada 1994 oleh kumpulan ANGKASARAN, Universiti Sains Malaysia (USM) dan dinobatkan sebagai Juara Pekan Teater Kebangsaan dalam Festival Teater Malaysia. Kena Main juga pernah dipentaskan di Malaysia Tourist Centre (MaTiC) , Kuala Lumpur pada 1998 dan mencipta rekod dalam The Malaysia Book of Records sebagai pementasan teater pertama di Malaysia yang menampilkan orang cacat penglihatan sebagai watak utama.

ITBM dan IB pula me­ngambil inisiatif mementaskan teater ini dengan tujuan untuk mengangkat karya sastera berkualiti ke tahap lebih tinggi.

Tiket teater dijual pada harga RM35, RM55, RM85, RM105 dan RM155. Ia boleh dibeli secara dalam talian di redtix.airasia.com.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 10:36 AM