Leverkusen, Jerman: Diego Simeone (gambar) menegaskan Atletico Madrid boleh mengubah keadaan pada perlawanan timbal balik pusingan kedua Liga Juara-Juara di Sepanyol selepas dikejutkan kekalahan 0-1 di tangan Bayer Leverkusen.

Kelab Jerman itu satu langkah ke suku akhir buat kali pertama sejak layak ke final Liga Juara-Juara 2002 selepas gol menakjubkan Hakan Calhanoglu pada babak kedua memberikan mereka kelebihan tipis.

Atletico berakhir dengan 10 pemain di BayArena, awal pagi semalam apabila pemain tengah Tiago dibuang padang pada 15 minit terakhir kerana kad kuning kedua manakala pertahanan tengah, Diego Godin turut digantung bagi perlawanan kedua selepas menerima kad kuning pada babak kedua.

“Leverkusen mungkin memenangi saingan ini jika mereka menjaringkan gol lagi, tapi kami boleh menangani situasi ini dan berpeluang cerah di laman sendiri,” kata jurulatih Atletico Simeone.

“Kami perlu positif pada perlawanan kedua, kami mempunyai peluang, tapi malam ini bukan milik kami.

“Kami tidak berganding dengan baik, Leverkusen lebih banyak menguasai bola dan kami tidak dapat mempamerkan persembahan biasa.

“Diego dan Tiago digantung bagi perlawanan timbal balik dan kami mempunyai beberapa pemain yang cedera, tapi kami masih menaruh harapan.” - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 Februari 2015 @ 9:18 AM