SENTIASA dahulukan zuriat walaupun sibuk dengan kerjaya atau perniagaan.
SENTIASA dahulukan zuriat walaupun sibuk dengan kerjaya atau perniagaan.
Oleh Rudy Oleh Imran Shamsudin


Tiada yang lebih indah dalam hidup seorang wanita apabila bergelar ibu. Sesibuk mana pun, keutamaan harus diberi kepada cahaya mata tercinta, walaupun waktu sama harus memberi tumpuan kepada kerjaya seni mahupun perniagaan diusahakan.

Begitulah yang diluahkan dua penghibur terkenal, Ning Baizura dan Noryn Aziz sewaktu ditemui di majlis sidang akhbar persembahan sempena Minggu Setiausaha Queen Of The City yang bakal berlangsung di Hotel Shangri La, Kuala Lumpur, 9 April depan.

Ning atau Ning Baizura Sheikh Hamzah, 39, menjelaskan, sesibuk mana pun kehidupan dilalui kini sebagai penyanyi mahupun Pengarah Urusan Happening Sdn Bhd iaitu syarikat miliknya, dia akan memastikan segala urusan berkaitan putera tunggalnya, Ryan Sky Dalton akan disiapkan terlebih dulu.

“Mungkin ini yang dikatakan kelebihan diberikan Allah kepada wanita bergelar isteri dan ibu. Kadangkala jadual memang padat tapi saya masih mampu melakukan kerja rumah.

“Kadangkala apabila penat kejar dan berlari menguruskan semua benda rasa nak pengsan tapi hairannya tidak pula pengsan, sebaliknya semua urusan berjalan lancar,” katanya.

Kata Ning, dia akan memastikan segala persiapan untuk Ryan yang kini mencecah usia dua tahun didahulukan, apatah lagi anaknya kini bersekolah.

“Setiap hari saya akan menghantar dan mengambilnya, cuma jika ada urusan tengah hari, ibu saya akan bantu mengambilnya di sekolah.

“Saya bertuah dan bersyukur kerana ibu ada bersama saya dan dapat membantu jika ada perkara tidak dapat dielakkan untuk menguruskan anak. Begitupun, saya akan lakukan sendiri perkara wajib seperti bertemu guru Ryan dan memasak,” katanya.

Dalam kesibukan menguruskan kerjaya dan rumah tangga, kata Ning, pada waktu sama dia tidak berkompromi soal kesihatan diri. Disebabkan itu, penyanyi yang mula mencipta nama menerusi lagu Curiga sering menjaga pemakanan diambil dan bersenam.

“Senaman pula bukan yang berat-berat tetapi lebih kepada pilates untuk memastikan tubuh kuat. Semua ini saya lakukan demi Ryan sebab dia nak membesar dan memerlukan perhatian saya.

“Tambah pula Ryan sekarang ‘terlebih’ pandai dan kuat makan. Selain sibuk bersekolah, Ryan mengikuti kelas berenang dan ada pelatih yang mengajarnya.

“Suami saya kagum melihat dia berenang. Walaupun usia baru mencecah dua tahun, tubuhnya macam budak usia lima tahun,” katanya.

Mengenai anaknya makin membesar, Ning akui membeli kasut Ryan di Tesco saja kerana dalam tempoh tiga atau empat bulan ia perlu diganti.

“Tidak guna membeli kasut berjenama dengan harga mahal kerana tidak sampai tiga bulan perlu beli kasut baru sebab kakinya cepat panjang,” katanya berkongsi cerita.

Apa yang membanggakan Ning, Ryan kini mempunyai simpanan sendiri hasil pendapatannya menjadi duta produk berkaitan kanak-kanak.

“Rezeki anak, saya pun tidak sangka ada produk yang mahu menampilkan Ryan, tapi saya tidak membiarkan ia dilaksanakan secara berlebihan. Sikit-sikit tu bolehlah. Kalau hendak serius pun, biarlah tunggu besar. Nanti saya hantar dia ke sekolah peragaan milik Amber Chia,” katanya berseloroh.

Tegas Ning, dia tidak pernah menghalang minat anaknya jika dia mahu serius menceburi bidang komersial atau seni apabila dewasa nanti.

“Saya dan suami sentiasa bersikap terbuka. Kalau itu yang Ryan suka dan minat, kami akan memberi galakan tetapi biar dia memberi perhatian kepada pendidikan.

“Bagi saya dan suami, ia lebih penting untuk masa depannya supaya lebih terjamin dan menjadi individu serba-boleh seperti ibu dan ayahnya,” katanya.

Perubahan hidup Noryn

Kehadiran Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia enam bulan me­ngubah hidup penyanyi Noryn atau Norazmahwati Abdul Aziz, 38.

Baginya, perubahan itu sangat dirasai, tambah pula dikurniakan anak selepas beberapa tahun berkahwin. Katanya, ketika hidup sendiri sebelum ini, tidak banyak perkara perlu difikirkan kecuali diri sendiri dan kerjaya.

“Dulu hidup bujang, kemudian berkahwin dan kini mempunyai anak. Hari-hari dilalui sungguh tenang dan relaks tapi sekarang memang hidup saya berbeza. Dalam segala hal, keutamaan saya adalah Umar hinggakan hendak bergerak ke kedai pun menjadi masalah besar.

“Apabila Umur hadir dalam hidup saya dan menguruskannya sendirian, saya selalu berbisik dalam hati, begini rupanya apabila kita punya anak,” katanya.

Noryn akui masa mula-mula dulu memang rasa janggal tetapi apabila anaknya masuk usia enam bulan, dia dapat membiasakan diri.

“Penat bagaimanapun ketika menguruskan Umar, setiap kali menatap wajahnya, segala kepenatan akan hilang,” katanya.

Dalam menguruskan kerjaya dan anak, Noryn sentiasa melihat contoh rakan artis lain seperti Ziana Zain mahupun Ning Baizura yang turut sama-sama menjayakan persembahan Queen of the City.

“Kalau kata saya sibuk dengan kerjaya nyanyian dan rumah tangga, Ziana dan Ning juga memikul tanggungjawab sama. Kalau mereka boleh lakukan dengan baik, saya juga boleh melakukan perkara sama,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kesibukannya kembali menjayakan persembahan pentas selepas habis pantang, kata Noryn, dia akan memastikan keluarganya didahulukan berbanding kerjaya.

“Sejak ada Umar, saya selalu memastikan dia akan ada bersama walaupun waktu saya bekerja. Dia tidak boleh lepas daripada pandangan mata saya hinggakan kalau ada persembahan pentas, saya akan bawanya bersama. Malah, datuk dan nenek Umar pun saya akan heret sama.

“Saya lebih selesa menjaga sendiri anak kerana kebelakangan ini ba­nyak sangat cerita yang tidak sedap kita dengar membabitkan penjaga kanak-kanak atau pembantu.

“Bagi saya, biar penat menjaga anak sendiri asalkan saya tahu dia sentiasa selamat dan kebajikannya terjaga,” katanya.

Noryn yang berkahwin dengan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad pada 22 Januari 2010 selamat melahirkan bayi lelaki di Prince Court Medical Centre pada 25 Ogos 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Februari 2015 @ 5:06 AM