Noryn mohon maaf enggan mengulas perceraiannya dengan suami. FOTO SDT
Noryn mohon maaf enggan mengulas perceraiannya dengan suami. FOTO SDT
Sudirman Mohd Tahir


TANGISAN penyanyi, Noryn Aziz seakan menjawab spekulasi perceraian dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Kamarul Baharin Shah Raja Ahmad.

Noryn atau Norazmahwati Abd Aziz, 42, mengakui segala apa dilaporkan termasuk kehadirannya di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu pada 1 April lalu bagi sesi majlis sulh pertama adalah benar.

“Saya tidak nafikan perkara ini. Cuma, buat masa sekarang saya tak boleh komen banyak. Saya perlukan ruang dan waktu.

“Apa saya buat sekarang adalah fokus kepada kerjaya. Saya tidak mahu perbesarkan perkara ini. Sampai masa nanti, saya akan kongsikan. Saya harap semua faham,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sudah berapa lama pergolakan rumah tangga mereka, Noryn yang popular menerusi lagu Fantasi O Realiti tidak mahu buka cerita.

“Ini bahagian peribadi saya. Tidak semua perkara saya boleh kongsi. Saya mohon maaf,” katanya ringkas.

Mengenai hubungan dengan suami kini sama ada wujud perbincangan untuk berbaik semula, Norynn sekali minta maaf dan enggan mengulas lanjut.

Terdahulu, Raja Kamarul dalam akhbar ini mengesahkan sudah memfailkan perceraian tahun lalu dan menjalani majlis sulh pertama.

Difahamkan proses sulh pasangan berkenaan akan berlangsung sekali lagi di mahkamah sama selepas Aidilfitri nanti.

Raja Kamarul Bahrin dan Noryn diijabkabul pada 22 Januari 2010 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki Raja Bariq Umar Shah yang kini berusia empat tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 5:55 PM