PEMANDANGAN  di  Taman Simalem Resort.
PEMANDANGAN di Taman Simalem Resort.
KERUSI batu yang berfungsi sebagai tempat untuk pengadilan.
KERUSI batu yang berfungsi sebagai tempat untuk pengadilan.
KEDAI cenderahati di Pematang Purba.
KEDAI cenderahati di Pematang Purba.
PERKUBURAN masyarakat Batak di Ambarita.
PERKUBURAN masyarakat Batak di Ambarita.
Oleh Salman Hamat


Keindahan Taman Simalem Resort melayakkan ia digelar sebagai mutiara Danau Toba, malah sudut pemandangan di situ paling unik berbanding lokasi terkenal lain sekeliling tasik semula jadi antara terbesar di dunia itu.

Perasaan untuk berkunjung semula ke resort berkenaan bermain di fikiran kerana belum puas menyaksikan pemandangan indah, selain mahu menikmati suasana romantik matahari terbit berlatar belakangkan Danau Toba yang tidak sempat dirasakan pada persinggahan amat singkat sebelum ini.

Penulis bersetuju sekiranya destinasi seluas 25 hektar yang baru beroperasi kira-kira dua tahun itu dianggap sebagai pusat percutian paling sesuai untuk berbulan madu tanpa mengira sama ada pasangan baru berkahwin atau mereka yang mahu mengulangi semula detik manis itu.

Rugi jika melepaskan peluang menyaksikan matahari terbit jika berkunjung ke resort empat bintang itu. Malah, penulis difahamkan pihak pengurusan resort akan mengejutkan pengunjung yang bermalam di situ untuk bersama-sama melihat kejadian alam yang indah itu.

Secara ringkas, pusat percutian tanah tinggi itu mempunyai beberapa tarikan lain seperti ladang sayur dan buah-buahan, taman organik, kemudahan trek hutan dan basikal lasak manakala bagi peminat sukan golf, padang dengan sembilan lubang turut sedia menunggu mereka.

Bagi yang ingin menikmati suasana percutian bulan madu mereka boleh menginap di 'waterfall lodge' iaitu villa dibina dalam hutan dengan landskap hutan semulajadi serta kedinginan suasana pergunungan.

Bagi yang ingin mencari ketenangan, lokasi itu juga sesuai tidak hanya pemandangan hijau tumbuhan hutan, malah deruan air jeram bersebelahan pastinya akan menghilangkan seketika kepenatan bekerja.

Sebenarnya pengalaman itu dirasakan pada hari kedua sepanjang empat hari tiga malam penulis di Medan, Indonesia atau Sumatera Utara menerusi kunjungan anjuran Firefly, baru-baru ini.

Perjalanan bermula dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (TLAPP) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Namu mengambil masa selama 45 minit.

Pada hari pertama tidak banyak destinasi menarik untuk dikongsi kerana kebanyakan masa kami dihabiskan untuk menempuh perjalanan selama kira-kira enam jam dari Medan ke destinasi pertama iaitu hotel penginapan di Danau Toba International Cottage, Parapat.

Teruja untuk melihat keindahan Danau Toba, penulis bangun seawal jam 5 pagi keesokannya dan keindahan tasik itu mengagumkan namun agak sedikit kecewa kerana cuaca mendung akibat musim hujan menyebabkan tidak sempat melihat suasana matahari terbenam.

Perjalanan kemudian diteruskan ke Pulau Samosir apabila kami dibawa ke Desa Ambarita menempatkan perkampungan masyarakat Batak serta kampung contoh didiami raja masyarakat itu satu masa dahulu.

Sampai di situ, penulis pelik apabila diminta melaungkan 'Horas' sebanyak tiga kali dengan sekuat hati oleh pemandu pelancong. Namun, ia perkara biasa dan sebagai tanda hormat kepada tuan rumah iaitu masyarakat Batak yang menerima kunjungan kami.

Sekali pandang masyarakat Batak nampak bengis manakala nada pertuturan juga amat tegas, namun di sebalik persepsi itu mereka sebenarnya amat mesra ketika melayan tetamu.

Satu ketika dahulu masyarakat Batak amat mahir dalam ilmu kebatinan, malah raja mereka dikatakan mempunyai kuasa hebat kerana mahu menjaga keamanan desa daripada dihuru-harakan anasir luar.

Kami turut melihat lakonan bagaimana pesalah dihukum di lokasi sama yang pernah digunakan raja Batak pada zaman dahulu untuk memenggal kepala pesalah.

Kunjungan ke Danau Toba tidak lengkap jika tidak singgah ke Air Terjun Sipiso Piso terletak di pertengahan jalan antara Parapat dan Beras Tagi. Selain bergambar pengunjung boleh menikmati minuman panas dan membeli cenderamata di gerai di situ.

Kami meneruskan perjalanan ke Taman Simalem Resort atau mutiara Danau Toba yang mempunyai keindahan memukau dan suasana romantik seperti diceritakan pada awal artikel ini.

Bermalam di Berastagi yang terkenal dengan hasil pertanian amat menyelesakan kerana suasana dingin menyebabkan kami tidak perlu menggunakan alat pendingin hawa untuk tidur.

Keesokan paginya kami singgah di pasar Berastagi sebelum bergerak ke Kota Medan dan hasil pertanian seperti strawberi, jagung dan benih pelbagai bunga serta pokok hiasan antara buah tangan paling popular bagi pelancong asing.

Pengalaman di tanah Sumatera Utara sesuatu yang amat menyeronokkan selain keindahan alam semulajadinya turut menawarkan percutian seperti di negara Eropah, tetapi pada kos lebih murah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 Februari 2015 @ 5:00 AM