KENANGAN penulis (dua dari kiri) bersama rakan di sebahagian kawasan pendakian Gunung Sibayak. FOTO Zuhainy Zulkiffli
KENANGAN penulis (dua dari kiri) bersama rakan di sebahagian kawasan pendakian Gunung Sibayak. FOTO Zuhainy Zulkiffli
Zuhainy Zulkiffli
rencana@hmetro.com.my

MEDAN di Sumatera Utara adalah kota ketiga terbesar di Indonesia dan terkenal dengan keindahan pemandangan sebahagian Danau Toba yang penuh misteri.

Kunjungan ke Medan, sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi peluang kepada penulis bersama tiga rakan melihat kehidupan warganya baik di kawasan pedalaman dan mahupun kesibukan kotanya.

Tidak lengkap rasanya ke negara orang tanpa melihat kehidupan masyarakat kampung termasuk menghayati perbezaan budaya masyarakat Batak yang terdiri daripada pelbagai etnik dengan latar sejarah kepahlawannya.

Berikutan jaraknya yang hanya kira-kira 50 minit dari Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu dengan menaiki penerbangan AirAsia, tidak hairanlah ramai rakyat Malaysia yang melancong di kota itu.

Antara lokasi yang dilawati ialah Parapat, Tebing Tinggi, Pulau Samosir, Danau Toba, Bukit Holbung, Si Piso Piso, Aek Rangat, Simarjarunjung, Pajak Ikan dan kawasan sejuk Berastagi.

FERI di Pelabuhan Tigaras yang mengangkut kenderaan untuk ke Pulau Samosir. FOTO Zuhainy Zulkiffli
FERI di Pelabuhan Tigaras yang mengangkut kenderaan untuk ke Pulau Samosir. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Berikutan perjalanan dari satu destinasi ke satu destinasi mengambil masa selama empat hingga lima jam, kebanyakan masa penulis diisi dengan melihat aktiviti penduduk sepanjang jalan selain melayan debar dengan gaya pemanduan 'supir' dan pengguna jalan raya lain.

Membunyikan hon dan memberi lampu isyarat ke kanan seakan-akan syarat wajib kepada pemandu di kota berkenaan.

Namun ini bukanlah kali pertama penulis berkunjung ke beberapa kota di Indonesia dan didapati gaya pemanduan di setiap kota atau tempat itu berbeza, itulah yang akan diingati pengembara saat pulang ke tanah air.

Lawatan yang menjadi kenangan kepada penulis ialah ketika mendaki Gunung Sibayak dengan ketinggian 2,212 meter dengan kira-kira dua jam pendakian.

Gunung berapi jenis 'stratovolcano' berhampiran Pekan Berastagi kali terakhir meletus pada 1880-an, namun sehingga kini masih terdapat aktiviti geoterma dan pergerakan udara

panas serta sulfur terbentuk selain menjadi tumpuan aktiviti perkhemahan.

Penulis dan rakan bergerak dari hotel seawal jam 4 pagi dan tiba di pintu masuk gunung kira-

kira 30 minit kemudian sebelum mendaftar pelawat dengan bayaran kira-kira 63,000 rupiah (RM18) bagi urusan permit dan jurupandu.

Kami mendaki kira-kira 20 minit lagi menerusi jalan hutan sebelum tiba di Pos Lestari Sibayak bagi menunaikan solat Subuh di kem yang disediakan kepada pendaki.

Perjalanan mendaki diteruskan yang keadaan gunung separuh hutan dan sebahagian atasnya berbatu serta tidak ditumbuhi pokok akibat aktiviti geoterma.

JIKA melalui jalan kampung untuk ke Medan, mata akan dijamu dengan pemandangan indah dan hijau gunung-ganang yang kebanyakannya belum diteroka. FOTO Zuhainy Zulkiffli
JIKA melalui jalan kampung untuk ke Medan, mata akan dijamu dengan pemandangan indah dan hijau gunung-ganang yang kebanyakannya belum diteroka. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Dalam keadaan yang masih gelap, hati melonjak ingin tahu dan tidak sabar sampai ke puncak berikutan bau sulfur yang kuat dan bunyi hembusan gas panas, boleh didengari dari pertengahan gunung.

Ketika perjalanan mendaki, boleh dilihat Gunung Sinabung yang masih aktif, namun ditutup kepada kunjungan awam kerana baru saja meletus beberapa hari sebelumnya.

Rasa teruja saat melihat tinggalan kawah gunung berapi dan sulfur yang menguning, sekali-sekala bau itu menusuk hidung, namun rasa penat mendaki terasa berbayar dengan pengalaman serta keindahan pemandangannya.

Ketika tiba di puncak, kami 'disambut' dengan hamparan awan dan kabus yang tebal menyebabkan penglihatan menjadi terhad, namun tidak lama kemudian selepas kabus menghilang, muncul pemandangan sebahagian Pekan Berastagi yang sangat indah.

Cuaca sejuk menyengat hingga ke tulang, tambahan pula penulis hanya memakai lima lapisan baju gara-gara tertinggal jaket, namun itu masih tidak cukup bagi memanaskan badan.

Sedikit kecewa kerana tidak dapat menikmati pemandangan matahari naik berikutan kabus tebal, namun bagi pendaki, kepuasan sebenar ialah ketika dapat mengharungi cabaran sepanjang pendakian.

SULFUR yang menguning dan menghembuskan udara panas di Gunung Sibayak kini menakung air yang dingin walaupun dikelilingi aktiviti geoterma. FOTO Zuhainy Zulkiffli
SULFUR yang menguning dan menghembuskan udara panas di Gunung Sibayak kini menakung air yang dingin walaupun dikelilingi aktiviti geoterma. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Jurupandu memaklumkan, walaupun trek gunung mudah, sudah banyak kes pendaki hilang - ada sebahagiannya tidak ditemui hingga hari ini berikutan tersesat ketika kabus tebal.

Katanya, kedudukan gunung yang bersambung dengan Taman Hutan Raya Bukit Barisan selain mempunyai tiga jalur pendakian berbeza iaitu mudah, sederhana dan sukar menyebabkan pendaki mudah tersasar daripada laluan.

Malah ketika penulis dan rakan mahu menuruni gunung itu kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan, kabus masih menebal menyebabkan kami perlu berjaga-pada setiap langkah.

Bagi yang datang secara kembara beg galas juga boleh menaiki bas dan perkhidmatan van dengan kadar bayaran tertentu.

Jika berpeluang lagi mendaki Gunung Sibayak, sudah tentu penulis mahu merasai aktiviti perkhemahan di situ pula.

Kami meninggalkan kota Medan selepas empat hari menikmati kesibukan kotanya dan sudah pasti merindui makanan enak dan unik di sana.

DUA pengunjung mengenakan pakaian tradisional yang boleh disewa dan dipakai di istana kebesaran Kesultanan Deli iaitu Istana Maimun. FOTO Zuhainy Zulkiffli
DUA pengunjung mengenakan pakaian tradisional yang boleh disewa dan dipakai di istana kebesaran Kesultanan Deli iaitu Istana Maimun. FOTO Zuhainy Zulkiffli

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2020 @ 7:00 AM