SKUAD olahraga 4x100 meter lelaki Khairul Hafiz Jantan (dua dari kiri), Jonathan Nyepa (kanan), Nixson Kannedy (kiri), Badrul HIsyam Abd Manap (tiga dari kiri) dan Haiqal Hanafi  (dua kanan) pada sesi latihan. -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
SKUAD olahraga 4x100 meter lelaki Khairul Hafiz Jantan (dua dari kiri), Jonathan Nyepa (kanan), Nixson Kannedy (kiri), Badrul HIsyam Abd Manap (tiga dari kiri) dan Haiqal Hanafi (dua kanan) pada sesi latihan. -Foto SAIFULLIZAN TAMADI
Mohd Khairie Khalid


OLAHRAGA, lubuk pingat setiap Sukan SEA akan memulakan acara selama lima hari bermula esok (Selasa) hingga Sabtu dengan menawarkan keseluruhan 45 pingat emas - dua sudah dilangsungkan pada hari pembukaan.

Ia menjadikan olahraga acara tertinggi menawarkan pingat diikuti akuatik renang dengan 38 pingat emas dan basikal 20 pingat daripada 404 pingat yang dipertandingkan di KL2017.

Sudah pasti olahraga menjadi tumpuan, apatah lagi sukan ini dapat disaksikan secara percuma di Stadium Nasional Bukit Jalil yang mampu memuatkan kira-kira 80,000 penonton.

Tumpuan peminat pasti terarah kepada jaguh pecut muda negara acara riben biru, 100 meter (m), Khairul Hafiz Jantan yang kian mencipta nama di peringkat tempatan dan antarabangsa.

Atlet berusia 19 tahun dengan gelaran The Speedy Jantan itu adalah pemegang tiga rekod kebangsaan iaitu 100m (10.18s), 200m (20.90s) dan lari berganti-ganti berpasukan 4x100m (39.62s) menghadapi saingan juara bertahan, Eric Cray (10.25s) dari Filipina yang mahu terus dinobatkan manusia terpantas di rantau Asia Tenggara.

Pertembungan epik dijangka berlaku apabila juara Sukan SEA Myanmar 2013, Jirapong Meenapra (10.48s) turut berada dalam senarai serta dua jaguh Indonesia, Yaspi Boby (pingat perak 2015 - 10.45s) dan Iswadi (gangsa pada 2015 - 10.45s) selain pelari Malaysia Jonathan Nyepa yang mempunyai pencapaian terbaik 10.28s.

Tidak kurang hebatnya perebutan gelaran 200m wanita apabila juara bertahan Veronica Shanti Pereira (23.60s) dari Singapura sudah melaungkan akan mempertahankan emas acara itu di Kuala Lumpur serta memperbaharui catatan terbaik yang perlu diawasi pelari negara, Zaidatul Husniah Zulkifli.

Berdasarkan jadual, acara tumpuan iaitu pecut lelaki dan wanita, bakal bermula pada hari pertama (Selasa-22 Ogos) kira-kira 3 petang serta aksi final pada sebelah malam.

Kali terakhir Malaysia memenangi pingat emas acara 100m dan 200m ialah di Sukan SEA 2001 di Hanoi, Vietnam, menerusi Nazmizan Muhammad.

Pencapaian cemerlang acara balapan dan padang secara berterusan menyaksikan Malaysia mampu meraih lebih tiga pingat acara padang temasya Singapura 2015 menerusi Muhammad Hakimi Ismail (lompat kijang), Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera) dan Olimpian negara, Nauraj Singh Radhawa (lompat tinggi).

Malaysia ketika ini mempunyai atlet yang semakin mencipta nama dan 14 pemegang rekod kebangsaan yang masih beraksi diketuai Khairul Hafiz Jantan (100m, 200m, 4x100m), Rayzman Shah Wan Sofian (110m lari berpagar), Nauraj (lompat tinggi), Muhammad Hakimi (lompat kijang), Muhammad Irfan (lempar cakera), Jackie Wong (baling tukul besi), Adi Alifuddin (lontar peluru), Iskandar Alwi (lompat bergalah) dan Tan Huong Leong (maraton).

Disusuli pelari terpantas wanita negara, Zaidatul Husniah Zulkifli (100m), Yap Sean Yee (lompat tinggi), Yap Jeng Tzan (lempar cakera), Grace Wong (baling tukul besi) dan Yuan Yu Fang.

KL2017 kali ini bakal diserikan dengan kemunculan dua juara dunia dari sukan para iaitu Muhammad Ziyad Zolkefli (lontar peluru) dan Abdul Latif Romly (lompat jauh).

Secara keseluruhan Malaysia meletakkan harapan kepada 36 atlet lelaki dan 27 wanita menjadikan ia seramai 63 atlet bagi membantu negara mencapai matlamat selaku Kita Juara 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2017 @ 4:30 PM