Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Seorang lelaki maut selepas tercampak dari keretanya yang terbabas dan merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 264, Lebuhraya PLUS, arah selatan, dekat sini, 2.30 pagi tadi.

Dalam kemalangan berhampiran susur keluar ke Plaza Tol Seremban itu, mangsa Gan Chin Chuan, 45, beralamat di Taman Sri Manja, Petaling Jaya, Selangor meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.

Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun berkata, siasatan awal mendapati mangsa memandu kereta dari Nilai menuju Seremban sebelum hilang kawalan sejurus tiba di tempat kejadian.

Katanya, akibatnya kereta mangsa terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan sebelah kiri.

"Dipercayai, ketika kejadian mangsa tercampak keluar dari kereta berikutan keadaan mayatnya terbaring di lorong kedua.

"Mangsa mengalami kecederaan di pelbagai bahagian badan dan maut di tempat kejadian," katanya.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar untuk bedah siasat di Jabatan Perubatan Forensik Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 12:41 PM