Seorang penunggang motosikal maut akibat dirempuh sebuah kereta dan tercampak pada penghadang jalan di Kilometer D1.8 Lebuh raya Sungai Besi menghala pusat bandar, kelmarin.

Ketika kejadian kira-kira jam 7.55 petang itu, mangsa Mohd Yuswadiey Ab Halim, 29, menunggang motosikal dari Puchong untuk menjemput tunangnya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sebelum maut di tempat kejadian.

Pegawai Turus Siasatan Dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Superintendan S Markandan berkata, kemalangan dipercayai berpunca daripada tindakan sebuah Mitsubishi Pajero Sport yang menukar lorong dari kiri ke kanan dengan tiba-tiba sebelum hilang kawalan.

Katanya, kenderaan itu yang dipandu lelaki berusia 31 tahun dalam perjalanan dari Seremban ke Taman Medan, Petaling Jaya kemudian melanggar penghadang jalan sebelum merempuh motosikal ditunggang mangsa.

“Mangsa yang tinggal di Kampung Pandan itu tercampak di antara penghadang jalan akibat rempuhan itu dan maut di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di kepala,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mei 2015 @ 7:07 AM