London: Arsenal akan cuba bangkit daripada kekalahan pertembungan jiran setempat utara London di tangan Tottenham Hotspur apabila bertemu pasukan tangga tercorot Leicester City di Emirates, awal pagi esok.

Gunners sudah biasa dengan kestabilan pengurusan ketika bos Perancis, Arsene Wenger (gambar) mengendalikan pasukan itu sejak lebih 18 tahun lalu.

Sebaliknya Leicester terpaksa mengeluarkan kenyataan lewat kelmarin menegaskan Nigel Pearson masih kekal pengurus mereka.

Berikutan kekalahan City di laman sendiri kepada Crystal Palace Sabtu lalu yang menyebabkan mereka menghuni tangga tercorot Liga Perdana, wujud desas-desus pengurus yang bertugas selama tiga setengah tahun itu dipecat, namun ia dinafikan.

Kedua-dua pasukan perlu membuktikan sesuatu, dengan Arsenal ghairah kembali ke kelompok empat teratas, selepas merudum ke tangga keenam apabila kecundang 1-2 kepada Spurs, Sabtu lalu.

Gunners akan diperkuat dengan kembalinya Alexis Sanchez selepas penyerang Chile itu terpaksa diketepikan bagi kunjungan ke White Hart Lane kerana masalah hamstring.

Mereka bagaimanapun pasti lega dengan hakikat Manchester United gagal menundukkan West Ham kelmarin, dengan keputusan seri 1-1 menyaksikan Arsenal hanya dipisahkan dua mata berbanding pasukan kendalian Louis van Gaal itu.

Atas kertas, perlawanan awal pagi esok sepatutnya menjadi kemenangan rutin buat pasukan Wenger yang membelasah Aston Villa 5-0 pada perlawanan terakhir mereka di gelanggang sendiri. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Februari 2015 @ 7:07 AM