WENGER kini mengharungi separuh daripada baki kontrak dua tahun bersama Gunners. FOTO/AFP
WENGER kini mengharungi separuh daripada baki kontrak dua tahun bersama Gunners. FOTO/AFP
AFP

LONDON: Arsene Wenger mungkin ‘hilang kata-kata’ sebelum pertemuan Arsenal dengan Stoke di laman sendiri, esok tetapi perdebatan mengenai masa depannya di Emirates jelas belum menemui noktah.

Di penghujung musim nanti, pengendali veteran dari Perancis itu sudah pun mengharungi separuh daripada baki kontrak dua tahun bersama Gunners yang mana kebanyakan peminat kelab itu berasakan tidak sepatutnya diberikan kepadanya.

Kali terakhir menghadiahkan Arsenal kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada 2004, pengendali berusia 68 tahun itu sebelum ini menempelak pengkritiknya dengan berkata beliau menjadi mangsa diskriminasi usia.

Kelab gergasi London itu ketika ini menghuni tangga keenam liga, ketinggalan 13 mata di belakang pasukan tangga keempat, Tottenham Hotspur sekali gus di posisi bahaya untuk gagal ke kancah Liga Juara-Juara buat tahun kedua berturut-turut.

Masalah tekak yang dihadapi Wenger menyaksikan penolongnya, Steve Bould terpaksa mengharungi sidang media dan bekas pertahanan Arsenal dan juga Stoke itu lebih banyak mempertahankan bosnya itu berbanding berbicara mengenai aspek perlawanan.

“Saya sangat kagum dengannya,” kata Bould terhadap Wenger. “Dia terpaksa berdepan dengan pelbagai komen buruk daripada ramai orang tetapi dia tetap salah seorang daripada pengurus yang hebat.

“Satu kebanggaan untuk saya duduk di sebelahnya. Dia seorang yang luar biasa. Di belakang pintu, saya tidak pernah berjumpa dengan seseorang yang sentiasa lapar dan bertekad untuk memenangi perlawanan sepertinya. Ia adalah yang paling besar.

“Dia melakukan kerja yang hebat, selama yang saya tahu dia sudah melakukan kerja yang hebat untuk tempoh masa yang amat panjang.”

Ramai peminat Arsenal merasakan Wenger, yang dilantik selaku pengurus Arsenal pada September 1996 sudah terlalu lama berada di kelab itu ketika kemarau kejuaraan mereka berlarutan tetapi Bould yakin masih banyak yang boleh diraikan sebelum musim ini menutup tirainya.

“Ada banyak lagi perlawanan yang kami boleh menang dan menjadikan musim ini lebih baik dan apa yang berlaku pada penghujung musim tetap akan berlaku,” katanya.

Gunners masih berpeluang beraksi di kancah elit Liga Juara-Juara dengan mengulangi kejayaan Manchester United menjuarai Liga Europa musim ini.

Kunjungan kelab kedua tercorot liga, Stoke adalah yang ketiga buat Gunners dalam lima perlawanan berturut-turut di laman sendiri dengan perlawanan pertama peringkat 16 terbaik Liga Europa menentang CSKA Moscow dijadual Jumaat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Mac 2018 @ 11:45 AM