ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat. FOTO Mas Adib Saie
ANGGOTA Bomba dan Penyelamat menjalankan operasi mencari dan menyelamat. FOTO Mas Adib Saie
Oleh Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuching: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas serpihan perahu dan alat menangkap ketam miliknya ditemui berhampiran baraj Sungai Sarawak di sini, semalam.

Mangsa Wahab Zain, 81, dikhuatiri lemas selepas tidak pulang ke rumah sejak keluar menangkap ketam kira-kira jam 4 pagi semalam.

Jurucakap bomba berkata, keluarga mangsa memaklumkan mangsa tidak pulang sejak semalam dan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut kira-kira jam 9.30 malam tadi.

Katanya, operasi mencari dan menyelamatkan dilancarkan semalam dan penduduk kampung menemui serpihan perahu pecah dipercayai milik mangsa dan peralatan menangkap ikan.

"Operasi yang disertai pasukan bomba, Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), APMM dan polis disambung kira-kira jam 7 pagi ini bagi mengesan mangsa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Oktober 2014 @ 3:36 PM