Hanoi: Orang ramai percaya, pihak berkuasa Vietnam menanam hidup-hidup ribuan kucing yang diseludup dari China selepas haiwan itu ditemui baru-baru ini.

Walaupun polis mendakwa kucing itu ditanam mengikut undang-undang, beberapa pihak mencurigainya.

Malah, mereka yakin kucing seberat tiga tan yang disumbat dalam sangkar buluh dibawa sebuah lori Selasa lalu tidak ditangani dengan baik.

Dakwaan berkenaan dinafikan seorang anggota polis Hanoi.

Katanya, kucing itu sudah mati ketika ditanam.

“Bau busuk bangkai kucing boleh menjejaskan alam sekitar serta membawa risiko penyakit.

“Justeru, kami mengambil langkah untuk menanam semua kucing itu,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Sebelum ini satu petisyen dilancarkan melalui laman sesawang change.org untuk menggesa pihak berkuasa Vietnam “menukar dasar pengendalian haiwan” dan mendapat lebih 23,000 tandatangan dari seluruh dunia sehingga semalam.

Daging kucing - dikenali sebagai ‘harimau kecil’ - dianggap hidangan istimewa di Vietnam.

Kerajaan mengharamkan dagingnya untuk dijadikan hidangan bagi menjaga populasi tikus yang semakin tidak terkawal di negara itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Februari 2015 @ 6:25 AM