DR Teoh bersama anugerah kemenangan. Gambar kanan, menu pesanan menggunakan aplikasi.
DR Teoh bersama anugerah kemenangan. Gambar kanan, menu pesanan menggunakan aplikasi.
Oleh Mohd Sabran Md Sani


Kebelakangan ini isu halal sering mendapat perhatian pengguna Islam sehingga ada yang ragu-ragu logo halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Bagi pengguna Muslim, isu halal sangat dititikberatkan, apatah lagi mencari yang halal adalah fardu bagi orang Islam.

Melihat kepada isu itu, penyelidik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) membangunkan Sistem Pemeriksa Informasi Halal dan Pesanan.

Sistem itu dibangunkan Pegawai Penyelidik Program Sistem Elektronik dan Persekitaran Ba­ngunan Pusat Penyelidikan Mekanisasi dan Automasi MARDI, Dr Teoh Chin Chuang.

Uniknya, sistem dwifungsi itu turut memudahkan pengendali makanan segera mengambil pesanan cara mudah.

Tidak perlu beratur panjang, dengan memuat turun sistem itu, pesanan boleh dilakukan dalam tempoh sing­kat.

Teknologi yang di­bangunkan pada 2013 meraih enam anugerah, antaranya pingat emas, INPEX Pittsburgh USA Excellence Award dan Anugerah Produk Inovatif Malaysia sempena Pameran Reka Cipta, Inovasi dan Teknologi Antarabangsa 2013 (ITEX 13), pingat emas Pameran Sains dan Teknologi MARDI (MSTE) 2013, Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Produk Baru (IENA 2013) (gangsa) di Nuremberg, Jerman dan Ekspo Teknologi Malaysia (MTE 2013) (perak).

Dr Teoh berkata, sistem dwifungsi dibangunkan itu sangat bermanfaat kepada pengguna Islam.

"Ramai masih ragu-ragu mengenai status halal yang dimiliki restoran makanan segera.

"Ketika ini ada pemilik gerai makanan di medan selera dan restoran makanan segera menyalahgunakan logo halal," katanya.

Dengan hanya menggunakan telefon bimbit, kata­nya, pengguna boleh me­nyemak status halal sebelum menempah makanan.

Inovasi yang di­bangunkan MARDI membabitkan empat komponen utama iaitu e-periksa halal, e-menu, e-pesanan dan e-resit.

"E-periksa halal me­nyediakan pengguna untuk menyemak status makanan halal melalui pautan terus ke Portal Halal Malaysia sebelum memesan makanan.

"E-menu adalah pang­kalan data makanan untuk pelanggan mengetahui jenis dan harga makanan," kata­nya.

E-pesanan pula, katanya, untuk memesan makanan melalui penjanaan kod bertindak cepat (kod QR).

"E-resit dengan nombor giliran akan diterima pelang­gan selepas pembayaran.

"Pelanggan boleh memuat turun perisian dan memasang ke telefon pintar atau tablet untuk memeriksa status informasi halal dan pesanan makanan," katanya.

Mengenai senario di restoran makanan segera, katanya, tempoh memesan makanan adakalanya me­ngambil masa lama.

"Bukan saja perlu berbaris panjang, ada pelanggan terpaksa mengambil masa lama di kaunter untuk memilih menu.

"Jika memiliki ramai ahli keluarga, tempoh menunggu itu memberi kesan emosi kepada mereka," katanya.

Sebaliknya dengan ha­nya memuat turun aplikasi, bukan saja maklumat halal diketahui, pesanan juga lebih pantas.

"Pesan saja hidangan pada menu di telefon bimbit dan hanya meletak kod QR pada pengimbas untuk pesanan," katanya.

Sebaik disaring, kaunter akan mencetak resit dan nombor giliran sebelum pelanggan menunggu giliran pesanan.

Teknologi itu sesuai untuk restoran yang menyediakan perkhidmatan pandu lalu.

Katanya, MARDI sudah melesenkan kepada sebuah syarikat untuk dikomersialkan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Februari 2015 @ 9:31 AM