KUALA NERUS: Seorang remaja yang dilaporkan hilang lewat petang semalam ketika mandi sungai bersama dua lagi rakannya di Kampung Tuan Mandak, di sini, ditemui lemas hari ini.

Mayat Ahmad Khairul Azmi Mahyuddin, 18, pelajar Sekolah Pondok Kampung Bukit Jong di Tepoh dekat sini, ditemui oleh pasukan penyelam Jabatan Bomba dan Penyelamat, 12.40 tengah hari tadi.

Ketua Balai Bomba Daerah Kuala Terengganu, Kamerul Bieza Mohd Kassim berkata, mayat remaja yang berasal dari Kampung Felda Belara, Manir dijumpai di dasar Sungai Manir kira-kira 50 meter dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

"Kira-kira 10 malam tadi, kita juga melakukan selaman namun oleh kerana cuaca gelap menghadkan penglihatan serta menyukarkan operasi mencari dan menyelamat.

"Operasi mencari dan menyelamat ini diteruskan 8 pagi tadi dengan kekuatan 30 anggota dan 20 daripadanya pasukan penyelam dari Balai Bomba Kuala Terengganu dan Kuala Berang," katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Semalam, hasrat tiga remaja untuk menghabiskan masa hujung minggu dengan mandi sungai berakhir dengan tragedi selepas seorang daripada mereka dihanyutkan air dalam kejadian 6.40 petang.

Sementara itu, bapa saudara mangsa, Izzuddin Abdul Salam, 43, berkata, anak saudaranya itu keluar rumah dengan menggunakan motosikal milik emak saudaranya untuk berjumpa dengan rakan-rakannya.

Katanya, kali terakhir beliau berjumpa dengan anak sulung daripada lapan beradik itu kira-kira 2 petang semalam sedang menunggang motosikal namun tidak memaklumkan ke mana tujuannya.

"Mangsa memang biasa datang ke sini berjumpa rakan-rakan sekolah pondoknya, dan petang semalam saya ada terserempak dengannya namun dia hanya senyap.

“Kami menerima panggilan telefon 7.19 petang semalam memaklumkan mangsa lemas dan terus bergegas ke tempat kejadian," katanya.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk bedah siasat. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Februari 2015 @ 3:49 PM