KEUNIKAN reka bentuk berunsurkan budaya China terserlah pada bangunan Kompleks As-Saadah.
KEUNIKAN reka bentuk berunsurkan budaya China terserlah pada bangunan Kompleks As-Saadah.
Teks dan gambar Mohd Amin Jalil


Keunikan reka bentuknya yang berteraskan nilai kesenian masyarakat Cina meletakkan Kompleks As-Saadah di Rahang Seremban Negeri Sembilan, antara bangunan yang unik di negara ini.

Kompleks untuk pusat kegiatan saudara baru itu dibina berasaskan inspirasi Masjid Besar Xi An di Wilayah Shaanxi, China, manakala sebahagian reka bentuknya menerapkan ciri bangunan di Uzbekistan.

“Hiasan dinding dan beberapa bahagian lain di bangunan itu berunsurkan kesenian China.

“Kompleks berkeluasan 0.7 hektar itu mempunyai sebuah pagoda, menara bertingkat yang dikelilingi bumbung hiasan pada setiap tingkat.

“Bahagian utama kompleks itu termasuk sambungan kecil juga kelihatan seperti rumah ibadat agama lain,” kata Pengurus kompleks itu, Muhammad Ridzuan Lau Abdullah.

Katanya, pengabungan seni bina masyarakat di China pada kompleks itu diyakini menarik lebih ramai saudara baru terutama bangsa Cina mendekati Islam.

Beliau berkata, seni bina adalah salah satu faktor yang dapat mempengaruhi fikiran manusia untuk memahami dasar keterbukaan Islam yang tidak tertumpu kepada sesuatu kaum atau bangsa sahaja.

“Reka bentuk Kompleks As-Saadah yang diambil berpandukan seni bina budaya China ini bukanlah untuk menjadi kebanggaan semata-mata, tetapi strategi dalam berdakwah kepada bukan Islam.

“Kompleks ini membuktikan kesempurnaan dan keterbukaan Islam yang tidak menghalang umatnya mengamalkan konsep kebudayaan masing-masing,” katanya.

Menurutnya, pernah beberapa kali orang Cina beragama Buddha datang ke sini kerana menyangka kompleks ini tokong mereka, namun selepas dijelaskan, mereka terkejut dan mengagumi penerapan budaya Cina pada kompleks itu.

Melangkah masuk ke pintu utama kompleks itu bagaikan memasuki pintu dua dimensi yang membawa pengunjung ke Tanah Besar China.

Dekorasi di dalam dan di luar kawasan itu juga menarik.

Halaman tengah kompleks terdapat tangga utama ke masjid dengan pemandangan dipenuhi pokok hiasan yang sinonim dalam komuniti Cina.

Sejenis bonsai daripada kumpulan ficus diletakkan di setiap penjuru empat taman kecil itu dan di tengahnya pasu indah dengan ukiran tulisan Cina berisi pohon fir China.

“Kompleks As-Saadah diharap menjadi simbol dan mercu tanda di Negeri Sembilan sebagai lokasi bagi saudara baru mempelajari dan mendalami Islam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 April 2015 @ 5:06 AM