Khairy pada majlis Penyampaian Hadiah #HSNChallengeYourself dan Cabutan Bertuah Hari Sukan Negara. FOTO BERNAMA
Khairy pada majlis Penyampaian Hadiah #HSNChallengeYourself dan Cabutan Bertuah Hari Sukan Negara. FOTO BERNAMA
BERNAMA

Putrajaya: Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin hairan Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab tidak mengetahui prosedur sebelum membida acara trek Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC) 2018.

Khairy berkata Abu Samah, selaku presiden yang menerajui badan induk sukan itu lebih 20 tahun, sepatutnya mengetahui tentang Akta Pembangunan Sukan 1997 iaitu perlu dipatuhi sekiranya mahu menjadi tuan rumah bagi kejohanan bertaraf antarabangsa.

"Sudah 26 tahun beliau menjadi Presiden, tidak mungkin beliau tidak tahu berkenaan akta ini, sebab ini Akta Pembangunan Sukan 1997.

"Saya tidak ada masalah dengan Datuk Abu Samah ataupun PKBM, tetapi akta itu digubal supaya dipatuhi semua pihak. Lain kali mana-mana persatuan atau individu yang ingin membuat bidaan menganjur acara sukan antarabangsa mesti mendapat kelulusan menteri," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan majlis penyampaian hadiah Hari Sukan Negara #HSNChallengeYourself dan cabutan bertuah HSN21 kilometer di Menara KBS, di sini.

Menurut laporan berita portal tempatan, Abu Samah berkata beliau tidak mengetahui garis panduan seperti yang termaktub dalam Seksyen 33 Akta Pembangunan Sukan 1997 yang memerlukan kelulusan menteri bagi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa.

Khairy berkata beliau telah meminta Pesuruhjaya Sukan, Datuk Zaiton Othman mendapatkan maklumat tentang perkara itu untuk tindakan lanjut.

PKBM telah membida untuk menjadi tuan rumah Kejohanan ACC 2018 bersama Thailand dan Korea Selatan, namun dua negara terbabit menarik diri yang membolehkan Malaysia mendapat hak penganjuran.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Oktober 2016 @ 11:15 PM