AFP

Madrid: Gareth Bale menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti lewat permainan selepas Cristiano Ronaldo dibuang padang untuk kali kesembilan dalam kariernya ketika Real Madrid terpaksa bangkit menewaskan Cordoba 2-1, awal pagi semalam.

Barcelona yang beraksi lebih satu perlawanan berbanding juara Eropah itu kekal satu mata di belakang selepas Neymar dan Lionel Messi masing-masing meledak dua gol untuk membantu kemenangan 6-0 ke atas Elche yang terpaksa beraksi 10 pemain.

Juara liga Atletico Madrid ketinggalan lima mata dengan pasukan teratas liga selepas dua gol jaringan Antoine Griezmann memastikan kemenangan 3-1 ke atas Rayo Vallecano.

Real memulakan aksi dengan langkah kiri apabila Sergio Ramos terpegang bola di kawasan sendiri dan Nabil Ghilas tidak berdepan masalah untuk menyempurnakan sepakan penalti.

Karim Benzema menyamakan kedudukan hasil sepakan sudut James Rodriguez pada pertengahan babak pertama. Bagaimanapun, kekecewaan Ronaldo yang beraksi buruk menjejaskan kemenangan pasukan apabila mengasari Edimar tujuh minit sebelum tamat.

Namun, kelebihan pasukan pelawat itu tidak bertahan lama selepas Fede Cartabia dilayang kad kuning kedua kerana menahan bola sepakan percuma Bale dalam kotak penalti dan tanpa Ronaldo, bintang Wales itu tidak berdepan masalah mengambil sepakan penalti buat mengesahkan tiga mata penuh.

“Saya minta maaf kepada semua khususnya Edimar kerana kekasaran yang saya lakukan pada perlawanan itu,” kata Ronaldo dalam kenyataan yang ditulis menerusi akaun Twitter.

“Saya belum melihat insiden itu, belum bercakap dengannya dan tidak boleh memberi sebarang komen,” kata jurulatih Real Carlo Ancelotti mengenai kad merah diterima Ronaldo.

“Kami bergelut pada perlawanan ini, tapi penting untuk kami mendapat tiga mata dan berjaya melakukannya.”

Villarreal kini berkongsi mata dengan Valencia di tangga kelima apabila jaringan Luciano Vietto pada babak kedua sudah cukup menghadiahkan kemenangan 1-0 mengatasi Levante.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:39 AM