GRADEL (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.
GRADEL (tengah) meraikan jaringan bersama rakan sepasukan.

Malabo, Equatorial Guinea: Ivory Coast sekali lagi memerlukan gol saat akhir Max-Alain Gradel untuk meraih keputusan seri pada Piala Negara Afrika manakala Cameroon pula berkongsi mata dengan Guinea dalam saingan peringkat kumpulan paling sengit pada kejohanan itu.

Ivory Coast seri 1-1 dengan Mali sebelum Cameroon dan Guinea seri dengan jaringan sama di Malabo pada kempen Kumpulan D yang menyaksikan semua empat perlawanan berakhir dengan kutipan satu mata, sekali gus memastikan saingan terus sengit hingga ke aksi terakhir.

Dengan penyerang bintang Gervinho tidak dapat diturunkan akibat penggantungan selepas dibuang padang pada perlawanan pembukaan dengan Guinea, skuad Elephants kendalian Herve Renard ketinggalan pada minit ketujuh di Stadium Malabo.

Sambou Yatabare melakukan hantaran dari sebelah kanan untuk pemain sayap Wolverhampton Wanderers, Bakary Sako membuat sepakan bola separuh voli yang menerjah ke jaring.

“Banyak peningkatan berbanding perlawanan pertama, namun malangnya kami ketinggalan terlalu awal,” kata Renard.

Cameroon bangkit daripada ketinggalan untuk mencatat keputusan seri dengan Mali pada perlawanan pembukaan, namun menentang Guinea semalam, mereka yang mendahului.

Sepakan penjuru Benjamin Moukandjo terus masuk ke gawang pada minit ke-13 bagaimanapun sentuhan penyudah menarik Ibrahima Traore membolehkan Guinea menyamakan kedudukan sebelum tamat babak pertama. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 January 2015 @ 6:38 AM