FOTO ihsan bomba
FOTO ihsan bomba
Oleh Muhammad Apendy Issahak


Bidor: Seorang remaja lelaki cedera apabila sebuah tong alat pemadam api meletup di sebuah bengkel kimpalan di Jalan Bidor Raya, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira 1 petang itu, remaja terbabit dilaporkan mengalami kecederaan pada kedua-dua tangan dan dadanya.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bidor, Penguasa Bomba Kanan ll, Nasir Md Nor berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 1.11 petang dan sebaik tiba dilokasi mendapati remaja terbabit sudah dihantar ke hospital oleh ahli keluarganya untuk mendapatkan rawatan.

"Siasatan mendapati tong alat pemadam api berkenaan dipercayai meletup susulan daripada tindakan remaja terbabit yang cuba mengisi tong itu dengan gas kimpalan.

"Ketebalan besi tong alat pemadam api tidak sama dengan tong gas kimpalan, dan tindakan bahaya remaja terbabit menyebabkan ia meletup hingga menyebabkan mangsa cedera," katanya ketika dihubungi hari ini.

Nasir berkata, pihaknya dimaklumkan oleh ibu mangsa, kecederaan remaja terbabit tidak serius, namun mangsa mengadu sakit dada mungkin kerena terkena serpihan besi tong pemadam api berkenaan.

Tamat20

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 4:08 PM