KUMPULAN muzik Ladang Alam Warisan mempersembahan irama Melayu.
KUMPULAN muzik Ladang Alam Warisan mempersembahan irama Melayu.
Oleh Mohd Sharumnisham Shahbudin


Bagaikan tersesat dalam terowong masa dengan kembali ke zaman silam apabila menjejakkan kaki ke Ladang Alam Warisan di Negeri Sembilan, baru-baru ini. Lelakinya segak bertanjak dan berkain samping manakala wanitanya ayu berkerudung dan berkain batik, tertib duduk bersimpuh seperti suasana dalam filem klasik.

Hakikatnya, mereka adalah sekumpulan pelajar Pengurusan Acara daripada Politeknik Merlimau, Melaka yang menyertai program 'Waghih Balik Kampung' di ladang berkenaan, baru-baru ini.

Program ini dirancang bukan sekadar memenuhi keperluan kursus pelajar tetapi bertujuan melahirkan generasi pelapis bagi mewarisi adat dan budaya tradisional pada masa depan.

Menurut penasihat program, Mazura Stapah, program itu diadakan bagi memberi peluang kepada pelajar mengenal kembali adat resam dan budaya orang Melayu yang kian dilupakan oleh generasi muda masa ini.

"Kita juga berharap program ini juga diharap menjadi platform kolaborasi di antara Politeknik Merlimau khususnya program Diploma Pengurusan Acara, Jabatan Pelanco-ngan dan Hospitaliti dan tuan rumah iaitu Ladang Alam Warisan," kata Mazura yang juga pensyarah di politeknik berkenaan.

Di samping itu, pihak-nya juga ingin memperkenalkan kembali sukan berkuda dan memanah serta pelbagai permainan tradisional yang menjadi kemahiran dan kebanggaan orang Melayu satu masa dulu.

Malah yang paling penting, ia dapat menghidup-kan sunnah Nabi Muhammad SAW yang kurang diberi perhatian masa ini, terutama aktiviti berkuda dan memanah.

Program ini mendapat sokongan penuh daripada pengurusan Politeknik Merlimau. Bagi Pengarah politek-nik berkaitan, Zolkarnian Jobshi, penganjuran program ini dapat memperkenalkan kehidupan di kampung sebagai antara tarikan utama pelancongan negara, terutama di Negeri Sembilan yang terkenal dengan adat Pepatih.

"Kita menyokong penuh kewujudan destinasi pelancongan desa dan menggalakkan pelajar jurusan pelancongan menimba ilmu sebaik mungkin di sini," katanya.

Beliau juga berharap Ladang Alam Warisan dapat membantu kerajaan negeri memenuhi sasaran lima juta pelancong melawat Negeri Sembilan.

Peserta, Zulifah Amira Mohd Zulkifli, teruja berpeluang mengikuti program berkenaan. Katanya, dia dapat mengutip pengalaman yang berharga sepanjang berada dalam program berkenaan.

"Selain didedahkan kepada pel-bagai ilmu di sini, aktiviti yang disusun sepanjang program berlangsung juga meningkatkan semangat kerjasama sesama pelajar.

"Pembabitan secara langsung dalam program ini memberi pendedahan awal berkaitan pengurusan acara dan majlis rasmi," katanya.

Selain peserta Melayu, program unik ini turut menarik minat peserta keturunan Cina. Menurut Lee Yong Hern, penyertaannya dalam memberi peluang kepada beliau untuk mengenali dan mendalami adat dan budaya orang Melayu.

"Mengenali sesuatu budaya lain selain bangsa saya adalah antara perkara menarik bagi saya. Ia dapat mewujudkan suasana harmoni dan semangat bertoleransi dalam kalangan peserta berbilang kaum ini," katanya.

Selain itu, Lee turut teruja dengan permainan tradisional seperti memanah yang mengajarnya untuk fokus dan sabar, bukan sahaja ketika melakukan aktiviti terbabit, tetapi juga dalam kehidupannya selepas ini.

Sementara itu, bagi pengasas Ladang Alam Warisan, Mohd Akmal Mohd Dahalan, pihaknya terpanggil untuk mengasaskan pusat itu selepas melihat generasi muda hari ini dan pelancong asing kurang pendedahan mengenai adat istiadat masyarakat Melayu dahulu kala.

"Tujuan utama penubuhan ladang ini lima tahun lalu adalah sebagai pusat sehenti bagi mempelajari dan menghayati budaya Melayu serta mengalaminya sendiri.

"Harapan kami, golongan pelajar terutama terbabit dalam program di Ladang Alam Warisan ini akan mengerti kepentingan budaya Melayu yang berusia ratusan tahun ini dalam membentuk jati diri mereka.

"Selain usaha murni pengurusan ladang ini terus diberi sokongan dalam memastikan adat istiadat dan seni budaya ini tidak pupus ditelan zaman," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 January 2015 @ 6:02 AM