Canberra: Iraq memasang impian meraih satu lagi kejayaan sensasi menjuarai Piala Asia ketika mereka bersiap sedia berdepan musuh tradisi Iran pada suku akhir, esok.

Mereka mengejutkan juara tiga kali Arab Saudi 1-0 pada suku akhir lapan tahun lalu dan jurulatih sementara Radhi Shenaishil percaya sejarah boleh diulang.

Memori 2007 diimbau semula apabila Younis Mahmoud yang menjaringkan gol kemenangan pada 2007, menjaringkan gol sama menerusi tandukan ketika Iraq mengalahkan Palestin dalam Kumpulan D kelmarin.

“Saya harap senario 2007 berlaku semula buat pasukan kebangsaan Iraq dan jika kami meraih keputusan positif menentang Iran dan mara ke separuh akhir, saya yakin anda akan lihat Iraq di final,” kata Radhi, bekas pemain kebangsaan Iraq.

Iraq muncul naib juara Kumpulan D dan akan berdepan juara tiga kali Iran, yang masih belum dibolosi sebarang gol, pada suku akhir yang dijangka sengit di Canberra.

“Sudah tentu ia perlawanan sukar kerana ada banyak sejarah antara kami dan Iran juga pasukan kuat,” jelas Radhi, yang dipinjamkan oleh Qatar Sports Club bagi Piala Asia. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 January 2015 @ 8:21 AM