Oleh Afiq Hanif

Banyak inovasi dan teknologi baru yang diperkenalkan tahun lalu, sekali gus memberi petunjuk positif terutama bagi syarikat pembuat cip, Intel Corporation yang berkeyakinan lebih banyak teknologi baru bakal muncul tahun ini.

Pengurus Negara Intel Malaysia dan Singapura, Sumner Lemon berkata, sebagai pembuka tirai 2015, Intel membawakan CPU terbaru daripada keluarga Intel Core generasi ke-5 dengan penggunaan teknologi 14nm yang lebih jimat tenaga dan efisien.

"Dengan pengenalan CPU yang semakin kecil, kurang menggunakan tenaga dan tidak melepaskan haba yang banyak, peranti 2-dalam-1 dan semua-dalam-1 sudah pasti dapat dihasilkan dengan kuantiti lebih besar," katanya.

Menurutnya, pengeluar perkakasan dan peranti semakin berlumba-lumba untuk menghasilkan laptop yang boleh dilipat 360 darjah dan berfungsi sebagai tablet dalam rekaan kerangka yang nipis dan ringan.

"Pengguna yang kian bertambah pula lebih gemarkan produk hibrid seperti ini berbanding memiliki laptop dan tablet secara berasingan," katanya.

Internet untuk segalanya (IoT) yang mencipta kelainan bakal menjadi tajuk besar tahun ini.

IoT menjadikan produk dapat berkomunikasi, berinteraksi malah memberi maklum balas antara satu sama lain yang kebanyakannya diproses melalui sistem cloud.

Misalnya, BMW mempertontonkan kereta elektrik mereka yang dapat dikawal daripada jam tangan pintar Samsung Gear S.

Bagi memacu pengeluaran produk IoT, Intel sendiri mengambil inisiatif menghasilkan produk dan sistem berkaitan.

"Contohnya Intel Edison, sebuah sistem komputer lengkap yang boleh beroperasi sendiri dengan saiz hanya sebesar kad memori SD dimuatkan ke dalam prototaip Intel Galileo untuk memberinya lebih banyak fungsi," katanya.

Intel turut serta dalam kumpulan pembangun teknologi Rezence yang membangunkan standard pengecasan tanpa wayar.

Ia membayangkan produk ini akan dikomersialkan pada tahun ini apabila Intel sendiri mendapat kerjasama dari Lapangan Terbang San Francisco dan syarikat penerbangan Emirates untuk penggunaan pengecasan tanpa wayar di premis mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 5:00 AM