Oleh Afiq Hanif


Intel Corporation (Intel) memulakan tahun baru dengan beberapa pe­ngenalan teknologi canggih yang disasarkan kepada perkomputeran masa depan.

Antara yang diperkenalkan termasuk modul Intel Curie, produk peranti boleh pakai bersaiz butang, kamera robot Intel RealSense, dron dan produk berasaskan tiga dimensi (3D).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Brian Krzanich berkata, syarikatnya melabur kira-kira RM1 bilion untuk galakan barisan produk baru Intel serta teknologi baru.

"Pertumbuhan pengalaman penggunaan komputer lebih peribadi, pintar dan terhubung serta tidak keting­galan peranti boleh pakai menjadi ejen perubahan antara pengguna serta teknologi," katanya ketika pameran elektronik peng­guna (CES) di Las Vegas, Amerika Syarikat.

Menurutnya, kehadiran Intel bagi memastikan teknologi membantu mengatasi masalah dan direka untuk memenuhi kehidupan manusia.

Selain itu, Intel turut mengumumkan pemprosesan terbaru keluaran mereka iaitu Intel Core generasi ke-5 yang memperkenalkan teknologi terkini menggunakan cip berasaskan 14nm.

Keluarga pemprosesan Intel Core generasi ke-5 ini menampilkan 14 cip baru untuk pengguna dan perniagaan, termasuk 10 pemprosesan baru 15W dengan Intel HD Graphics serta empat lagi pemprosesan 28W dengan Intel Iris Graphics.

Pemprosesan Intel Core generasi ke-5 dihasilkan untuk menguasakan peranti akan datang dengan rekaan lebih nipis, ringan serta pe­ngalaman lebih efisien termasuk laptop tradisional, laptop 2-dalam-1, ultrabook, chromebook, PC Desktop semua-dalam-1 serta Mini PC.

Dengan pengenalan pemprosesan baru ini, Intel turut mengeluarkan pemprosesan 14nm untuk tablet generasi akan datang dengan nama kod Cherry Trail.

Sistem atas cip (SoC) yang baru ini menawarkan prestasi pengiraan 64 bit, grafik yang dinaik taraf dengan teknologi grafik Intel Generation 8-LP berprestasi lebih tinggi serta bateri yang tahan lebih lama.

Ia juga mempunyai kebolehan LTE-Advanced di atas platform Intel XMM 726x yang menyokong kelajuan CAt-6 dan 'Carrier Aggregation'.

Pengguna boleh mendapatkan peranti berasaskan platform ini menjelang dalam separuh pertama tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 January 2015 @ 5:00 AM