Oleh Dr Hanafiah Basirun

Virus HIV atau Human Immunodeficiency Virus sangat berbahaya. Ini kerana jangkitannya menyebabkan sistem imuniti badan menjadi lemah. Selepas memasuki badan, ia akan membiak dan menyerang sistem pertahanan badan pesakit, menyebabkan pesakit senang dijangkiti kuman lain seperti bakteria, kulat, virus, parasit, malah beberapa kanser akibat jangkitan virus.

Kebanyakan pesakit yang dijangkiti virus ini akhirnya meninggal dunia akibat penyakit AIDS atau Auto Immune Deficiency Syndrome.

Pesakit boleh dijangkiti virus ini melalui beberapa cara. Dalam kebanyakan kes, ia melalui hubungan kelamin sama ada jangkitan seksual biasa, luar tabii atau songsang. Selain itu, ia boleh dipindahkan daripada ibu yang dijangkiti kepada bayi sama ada ketika hamil, dalam proses kelahiran atau melalui susu ibu.

Virus ini juga boleh menjangkiti pesakit melalui perkongsian jarum suntikan. Pesakit yang menjalani transfusi darah juga berisiko dijangkiti virus ini.

Cecair badan lain seperti air liur dan air mata tidak mengandungi virus ini dan tidak dapat menjangkiti individu lain. Pada peringkat awal, tidak ada simptom spesifik yang dapat memberi gambaran mereka menghidapi HIV.

Biasanya kebanyakan pesakit akan mengalami demam, selesema, sakit kerongkong, bengkak kelenjar, sakit kepala dan juga ruam. Selain itu, mereka berkemungkinan mengalami loya, sakit perut, cirit-birit atau muntah.

Ia berlaku dua hingga empat minggu selepas dijangkiti dan simptom berterusan lebih seminggu. Oleh kerana simptom ini tidak spesifik, kebanyakan pesakit tidak dapat dikenal pasti menghidap HIV.

Selepas itu, kuman ini akan terus bercambah dan menyerang sel imuniti pesakit. Namun, kebanyakan pesakit akan kekal tidak mempunyai sebarang simptom dari tiga hingga 20 tahun walaupun tanpa rawatan sewajarnya hinggalah pesakit mempunyai simptom AIDS yang boleh dikenal pasti.

Pada peringkat sebelum tanda AIDS dikenal pasti, pesakit akan mengalami bengkak kelenjar di beberapa tempat pada badan, hilang selera makan, sakit-sakit sendi, demam dan cirit-birit.

Jika rawatan awal tidak diberi kepada pesakit dan jangkitan HIV tidak dapat dikenal pasti seawal mungkin, hampir separuh daripada pesakit akan menghidapi AIDS dalam masa 10 tahun selepas dijangkiti virus HIV ini.

Simptom awal jangkitan ini dapat dikenal pasti melalui jangkitan paru-paru, kulat pada saluran permakanan esofagus dan juga susut berat badan yang melampau. Mereka juga senang dijangkiti kuman dan sering menghidap jangkitan berulang.

Mereka juga berkemungkinan besar mendapat kanser yang berhubung kait dengan virus seperti kanser kelenjar iaitu lymphoma, kanser sarcoma Kaposi’s dan juga pangkal rahim bagi wanita.

Sangat penting untuk mengenal pasti pada peringkat awal seseorang itu dijangkiti HIV. Ini supaya rawatan untuk melambatkan proses serangan sel imuniti pesakit dapat diberi supaya komplikasi AIDS tidak berlaku atau dapat dilewatkan.

Walaupun jangkitan HIV tidak dapat disembuhkan ketika ini, rawatan diberi dapat memberi peluang hidup lebih tinggi bagi pesakit yang menghidapinya. Rawatan serta sokongan keluarga sangat penting dan mereka perlu memahami cara-cara jangkitan dari pesakit ke individu lain.

Pandangan masyarakat mengenai pesakit HIV perlu diubah. Kita juga perlu mengetahui cara jangkitan HIV dan dapat mengamalkan gaya hidup sihat supaya tidak dijangkiti virus yang masih lagi tidak mempunyai penawar.

Pelbagai program dan juga pendidikan berterusan sudah dan sedang dijalankan untuk memastikan jumlah pesakit HIV menjadi semakin kurang tahun demi tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 January 2015 @ 5:00 AM