NEUER pilihan  Shebby untuk anugerah Ballon D’Or.
NEUER pilihan Shebby untuk anugerah Ballon D’Or.

Anugerah Ballon d’Or 2014 milik Cristiano Ronaldo walaupun pilihan peribadi saya agak berlainan.

Tiang gol bola sepak mengikut ukuran antarabangsa adalah lapan kaki tinggi dengan 24 kaki lebar. Mudah untuk menjaringkan gol di peringkat manapun.

Sebaliknya, menyelamatkan bola daripada masuk ke gawang dengan ukuran sebegitu memang sukar. Jaringan membawa keriangan serta kegembiraan kepada rakyat manakala menyelamatkan bola daripada masuk ke gol hanya bermakna kita boleh serang balas sebaik-baiknya. Paling buruk, memberikan sepakan sudut kepada pihak lawan.

Pilihan peribadi saya untuk anugerah pemain terbaik di dunia ialah Manuel Neuer. Penjaga gol terbaik di dunia serta juara Bundesliga ini beraksi tahap tertinggi setiap perlawanan, baik ketika mewakili pasukan kelab Bayern Munich mahupun pasukan kebangsaan Jerman.

Seorang juara dunia yang begitu menonjol di peringkat Piala Dunia dengan kebolehan ajaib, Neuer mungkin pencabar terdekat untuk merebut anugerah berprestij itu, tapi jelas seorang penjaga gol walau dihargai tetap tidak akan dihormati. Maka tidak mustahil sekiranya tiada penjaga gol yang akan menang Ballon d’Or dalam jangka masa 10 tahun lagi.

Di England pula, akhirnya, Steven Gerrard akan meninggalkan pasukan Liverpool pada hujung musim Liga Perdana Inggeris untuk berhijrah ke Amerika Syarikat. Maka, pengurus pasukan Liverpool boleh menarik nafas lega untuk memulakan transformasi kembalikan Liverpool ke zaman kegemilangan.

Kehadiran Gerrard menjejaskan corak permainan yang ingin diamalkan Brendan Rodgers. Corak permainan hantaran pendek dengan pergerakan pantas tidak dapat di laksanakan dengan kehadiran Gerrard yang jelas pemain lasak, tetapi dengan usia lanjut, tidak dapat mengikut tempo serta kerancakan permainan.

Pemain terbaik Liga Perdana Inggeris Musim 2014/2015 setakat ini ialah Eden Hazard. Cesc Fabregas merupakan konduktor orkestra pasukan Jose Mourinho, tetapi Hazard menjadi bintang Chelsea.

Penyerang ini amat menakjubkan dengan kelincahan serta keseimbangan beliau, dan selesa beraksi di mana jua bahagian serangan.

Saya harap tahun ini akan membawa lebih kejayaan untuk kelima-lima pasukan Johor DT yang beraksi dari Liga Belia hingga ke Liga Super.

Di sini juga saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah kepada pemain pasukan Johor Darul Ta`zim (Johor DT), Safiq Rahim yang muncul penjaring terbanyak Kejohanan Piala AFF 2014. Pemain tengah ini sudah mengukir nama dalam sejarah bola sepak ASEAN.

Sebagai penjaring terbanyak kejuaraan ini nama Safiq akan berkumandang setiap dua tahun dari sekarang apabila bola sepak Piala AFF diperkatakan. Safiq juga menjadi pilihan peribadi saya sebagai pemain terbaik di Malaysia bagi 2014.

Persembahannya ketika Johor DT menjuarai Liga Super musim lalu amat menakjubkan walaupun kritikan dalaman terhadapnya, tidak kurang tajam. Semoga Safiq akan teruskan dengan persembahan yang memikat hati rakan sepasukan musim baru ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 17 January 2015 @ 5:08 AM