KUALA LUMPUR: Johor kembali dilanda banjir malam ini dengan empat pusat penempatan dibuka di Segamat bagi menempatkan 130 mangsa daripada 35 keluarga.

Keadaan itu menjadikan jumlah keseluruhan mangsa di pusat pemindahan di seluruh negara meningkat kepada 17,719 orang berbanding hanya 17,628 orang petang ini.

Sementara itu, mangsa banjir di Pahang menurun kepada 11,697 orang berbanding 11,736 orang petang tadi yang ditempatkan di 56 pusat pemindahan, manakala di Perak, Kelantan dan Terengganu jumlah mangsa kekal.

Di JOHOR, Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri menyatakan, sehingga 8 malam ini, 32 penduduk dari Mukim Gemereh dipindahkan ke Balai Raya Kampung Batu Badak manakala 91 orang dari Mukim Labis dipindahkan ke Balai Raya Kampung Segamat Kecil.

Lima orang dari Mukim Buloh Kasap pula dipindahkan di Balai Raya Kampung Spang Loi manakala dua orang dari Mukim Buloh Kasap ditempatkan di Balai Raya Kampung Mensudut Lama.

Menurut pusat kawalan operasi itu, Jalan Jabi-Bukit Tempurung di Segamat telah terputus hubungan.

Di PAHANG, Jurucakap Bilik Gerakan Banjir Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang berkata daerah Pekan menempatkan jumlah mangsa paling ramai iaitu 7,039 orang diikuti Maran (2,618 orang), Kuantan (1,012), Temerloh (572), Rompin (366) dan Bera (90).

Sementara itu di PERAK, jumlah mangsa kekal sebanyak 3,424 orang seperti yang direkodkan 5 petang tadi melibatkan 900 keluarga.

Jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Perak berkata kesemua mangsa ditempatkan di 17 pusat pemindahan dengan Perak Tengah mencatatkan mangsa paling ramai iaitu sebanyak (2,666 orang), Hilir Perak(424), Hulu Perak (164), Manjung (155) dan Kuala Kangsar (15).

Di KELANTAN, bilangan mangsa terlibat kekal sebanyak 2,440 orang seperti yang direkodkan petang tadi iaitu melibatkan 518 buah keluarga yang ditempatkan di 27 buah pusat pemindahan.

Berdasarkan statistik Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, jajahan Gua Musang mencatatkan 1,157 orang, Kuala Krai (1,090), Machang (100) dan Tanah Merah (93). Di TERENGGANU, bilangan mangsa kekal 28 orang seperti yang direkodkan petang tadi dan kini ditempatkan sementara di Dewan Orang Ramai Batu 14 Kuala Tayor dan Masjid Kampung Batu 14 Kuala Tayor.

Menurut jurucakap Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu, jumlah tersebut melibatkan tujuh keluarga yang d berada di dua pusat pemindahan. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 January 2015 @ 11:02 PM