Keadaan terowong di Seksyen U12, Shah Alam dan banjir kilat di beberapa lokasi di Shah Alam, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
Keadaan terowong di Seksyen U12, Shah Alam dan banjir kilat di beberapa lokasi di Shah Alam, hari ini. - Foto Ihsan Bomba
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Kuala Lumpur: Hujan lebat kira-kira sejam menyebabkan beberapa kawasan sekitar Shah Alam dilanda banjir kilat bermula 3 petang, hari ini.

Antara kawasan yang terjejas ialah terowong Seksyen U12, Taman Tasik Seksyen 7 dan beberapa lokasi di Seksyen 7, Shah Alam dengan paras air sedalam 0.3 hingga satu meter.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, banjir kilat berlaku selama beberapa jam dengan air mula surut kira-kira 6 petang tadi.

Menurutnya, banjir kilat berlaku akibat sistem perparitan yang tidak dapat menampung kapasiti air yang banyak akibat hujan lebat.

"Selain itu, di kawasan Seksyen 7, berlaku limpahan air Sungai Rasau," katanya.

Menurutnya, tiada mangsa terbabit dan status paras air sungai ketika ini berada pada paras bahaya iaitu 3.94 meter.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 Mei 2017 @ 9:04 PM