Banjir kilat di sekitar Taiping bermula tengah hari tadi. FOTO Yahya Awang
Banjir kilat di sekitar Taiping bermula tengah hari tadi. FOTO Yahya Awang
Yahya Awang


Taiping : Hujan lebat lebih tiga jam bermula jam 1 tengah hari tadi mengakibatkan beberapa kawasan di sini dilanda banjir kilat.

Keadaan itu menyebabkan beberapa tempat termasuk kawasan perumahan dinaiki air antara 0.2 hingga satu meter.

Pegawai Bomba dan Penyelamat Taiping Hasna Rashid berkata, antara kawasan terjejas ialah Taman Tupai Mas, Taman Seri Kota dan dan kawasan Sekolah St George Taiping membabitkan kira-kira 3,000 penduduk.

Katanya, di Taman Seri Kota kedalaman air mencecah satu meter dan lapan anggota pergi memantau kawasan banjir termasuk menyelamatkan seorang penduduk lumpuh dengan membawanya ke kawasan selamat.

"Bagaimanapun, hujan berhenti kira-kira 4.30 petang manakala banjir beransur surut lebih kurang sejam kemudian, jadi tiada penduduk yang dipindahkan," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting, Mohd Taufiq Abd Sattar berkata, hujan lebat itu juga mengakibatkan berlaku banjir kilat di Simpang Halt tetapi tiada penduduk yang dipindahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 November 2016 @ 8:49 PM