RAHMAN (kiri) berdepan penggantungan.
RAHMAN (kiri) berdepan penggantungan.

Kota Kinabalu: Sabah bakal berdepan cabaran sukar apabila turun menentang Terengganu di Stadium Likas malam ini apabila beberapa tonggak utama tidak dapat diturunkan.

Pengendali Jelius Ating berkata, beliau hanya memiliki 15 pemain selepas beberapa anak buahnya cedera dan digantung perlawanan.

“Pada aksi malam esok (ini), dua tonggak utama kami Rahman Shah Marajeh dan Dendy Lowa tidak dapat beraksi kerana penggantungan.

“Selain itu, beberapa lagi pemain cedera masih belum pulih dan terpaksa disisihkan,” katanya.

Jelius berkata, beliau terpaksa memanggil dua pemain skuad Piala Presiden, Hamran Peter dan Fazriel Hanafi Stephanus serta seorang pertahanan Piala Belia Evan Wensley Wenceslaus untuk membantu pasukan.

“Bagi perlawanan menentang Terengganu, saya mungkin hanya akan menggunakan seorang penyerang dengan dibantu tiga pemain Maxsius (Musa), Ummareng (Bacok), dan (Masaya) Jitzono.

“Walaupun memiliki pilihan pemain terhad, saya tetap yakin yang diturunkan akan bermain bersungguh-sungguh.

“Sememangnya kami mahu memulakan pusingan kedua liga ini dengan meraih keputusan baik, lebih-lebih lagi kami beraksi di gelanggang sendiri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 Mei 2017 @ 9:02 AM