ATING yakin kemampuan anak buah saingi TFC II. FOTO/FAIL
ATING yakin kemampuan anak buah saingi TFC II. FOTO/FAIL
Ryan Stanley

TANPA empat tonggak utama, pengendali Sabah Jelius Ating yakin pemainnya mampu menyaingi Terengganu FC II (TFC II), sekali gus tidak pulang tangan kosong apabila kedua-dua pasukan itu bertemu dalam aksi Liga Perdana di Stadium Sultan Ismail Nasirudin Shah, di Kuala Terengganu, malam esok.

Jurulatih berusia 47 tahun itu tidak dapat menurunkan dua pemain pertahanan iaitu Maffry Balang dan Jenius Karib yang masih belum pulih daripada kecederaan, selain Randy Baruh yang digantung perlawanan.

Jelius berkata, mereka juga terpaksa berdepan dengan TFC II dengan hanya tiga pemain import kerana Keisuke Ogawa turut belum pulih daripada kecederaan dialaminya pada perlawanan lalu.

“Bagaimanapun, kita telah bersiap sedia untuk perlawanan itu (bertemu TFC II) dan saya yakin pemain mampu menyaingi mereka, sekali gus tidak pulang dengan tangan kosong.

“Kita akan beri peluang kepada beberapa pemain muda bagi menggalas tugas yang terpaksa ditinggalkan pemain utama dan saya yakin mereka mampu memberi respon yang baik,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Jelius berkata, pasukannya harus mengelak daripada terus tercicir mata dan berharap pertemuan dengan TFC II menjadi titik permulaan untuk mengutip mata demi mata, sehingga berakhir saingan musim ini.

“Kita perlu terus mengutip mata untuk terus menghidupkan peluang beraksi di Piala Malaysia, kita perlu fokus dengan sasaran ini kerana hanya memiliki empat perlawanan lagi,” katanya.

Dalam pada itu, Jelius masih belum memutuskan siapa penjaga gol yang bakal memulakan perlawanan pada malam esok, sama ada Robson Rendy Rining atau Rozaimie Rohim.

Beliau juga dijangka menggunakan khidmat pertahanan muda iaitu Evan Wensley Wenceslaus untuk bersama Rawilson Batuil, Francis Kasonde serta Dendy Lowa di bahagian pertahanan.

Di bahagian tengah pula, ketiadaan Ogawa akan diisi seorang lagi pemain muda iaitu Hamran Peter yang bakal menggerakkan bahagian tengah bersama Sabri Sahar, Mohd Azzizan Nordin serta Maxsius Musa manakala Hector Omar Ramos dan Rodoljub Paunovic kekal sebagai pemburu jaringan buat Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 Julai 2018 @ 7:45 PM