Zulkifli (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 24.85 gram. FOTO Syafiq Ambak
Zulkifli (tengah) dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 24.85 gram. FOTO Syafiq Ambak
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Nelayan dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis heroin seberat 24.85 gram.

Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Zainal Azman Ab Aziz selepas tertuduh, Zulkifli Ngah, 45, didapati bersalah terhadap pertuduhan Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah berbahaya jenis heroin seberat 24.85 gram di dalam semak di tepi jalan Kilometer 74, Jalan Terengganu-Kuantan, Dungunjam 12.40 tengah hari pada 10 Ogos 2014.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Rohaiza Abd Rahman manakala tertuduh diwakili peguam, Masliela Ismail.

Terdahulu,Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, tertuduh yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah seolah-olah tidak insaf apabila mengulangi kesalahan sama dan hukuman diberikan ini adalah pengakhirannya untuk kesalahan yang dilakukan tertuduh yang juga penagih tegar.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 4:37 PM