MOHAMAD Zaharudin dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
MOHAMAD Zaharudin dibawa keluar dari mahkamah, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: “Pilihan hidup ada pada kamu dan saya harap kamu insaf dengan tidak mengulangi kesalahan sama. Rezeki yang kamu dapat dengan menjual dadah tidak berkat bukan sahaja di dunia tetapi di akhirat,” kata Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Zainal Azman Ab Aziz ketika penghakimannya terhadap Mohamad Zaharudin Jusoh, 30.

Tertuduh yang bekerja sebagai nelayan mengaku bersalah terhadap pertuduhan memiliki dadah jenis kanabis seberat 1.01 kilogram sebelum Zainal Azman menjatuhkan hukuman penjara selama 18 tahun dan 10 sebatan.

Zainal Azman dalam penghakimannya berkata, tertuduh yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah seolah-olah tidak insaf apabila mengulangi kesalahan sama dan berharap hukuman diberikan kali ini mampu membuatnya kembali ke pangkal jalan.

Hakim membuat keputusan itu selepas tertuduh yang juga anak ketiga daripada empat beradik mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39A (2) akta yang sama.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memiliki dadah berbahaya jenis kanabis seberat 1.01 kilogram di dalam sebuah kereta jenis Naza Citra di hadapan Balai Polis Kampung Raja, Besut, jam 10 pagi pada 23 Julai 2015.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh pula diwakili peguam, Masliela Ismail.

Tertuduh yang pada mulanya kelihatan tenang ketika mendengar keputusan mahkamah tidak dapat menahan sebak apabila menangis teresak-esak sebaik diiringi keluar oleh anggota polis dari kandang tertuduh di mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2017 @ 10:22 AM