IBU bapa Chahat kini bimbang dengan berat badan bayi itu yang berlebihan. - Hindustan Times
IBU bapa Chahat kini bimbang dengan berat badan bayi itu yang berlebihan. - Hindustan Times
Agensi

Amritsar (India): Seorang bapa buntu selepas berat badan bayi perempuannya yang baru berusia sembilan bulan naik mendadak hingga mencecah 19 kilogram.

Bapanya, Suraj, 23, berkata, bayinya yang diberi nama Chahat dilahir dengan berat hanya dua kilogram (kg), lebih rendah berbanding bayi normal di India.

Ujarnya, berat Chahat meningkat mendadak ketika berusia empat bulan dan kini mencecah 19.2kg sedangkan pada usia itu berat normal dalam lingkungan 9kg.

“Saya kini bergelut untuk membayar kos rawatan anak saya manakala isteri saya, Renu tidak bekerja,” katanya.

Seorang pakar kanak-kanak dari sebuah hospital kerajaan di sini, Dr Sandeep Aggarwal berkata, doktor juga sukar mengambil sampel darah bayi itu untuk pemeriksaan kerana lemak yang berlebihan.

Ujarnya, bayi itu mungkin menghidap masalah hormon atau sejenis tumor yang menyebabkan berat badannya naik mendadak.

“Bayi itu perlu dirawat segera kerana berat badannya akan meningkat lagi apabila dia semakin membesar,” jelasnya.

Menurutnya, dia sudah merujuk bayi itu ke Hospital Guru Nanak Dev di sini untuk pemeriksaan lanjut.

“Saya menasihati ibu bapa bayi ini supaya mengubah diet pemakanan anak mereka dan melakukan aktiviti fizikal untuk membantunya menurunkan berat badan.

“Bagaimanapun, bagi kes seperti ini, rawatan berkala juga perlu dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 1 Mei 2017 @ 6:25 AM