Ibrahim atau Raja Bomoh ketika hadir pada sidang media membuat pengakuan bersalah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, semalam. FOTO arkib NSTP
Ibrahim atau Raja Bomoh ketika hadir pada sidang media membuat pengakuan bersalah di Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, semalam. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan akan memanggil Ibrahim Mat Zin, 66, atau lebih dikenali dengan gelaran 'Raja Bomoh' dalam masa terdekat untuk menjalani sesi bimbingan memulihkan akidah.

Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Al Bakri berkata, sesi bimbingan akan dilaksanakan unit konsultansi akidah yang dimulakan dengan taaruf (perkenalan) untuk mengenali Ibrahim dengan lebih dekat sebelum meneruskan program pemulihan.

"Kita mempunyai ramai ustaz di pejabat mufti serta sahabat yang boleh membantu secara dalaman dan luaran yang bersedia memberi khidmat bagi membimbing ke arah kebaikan serta kebenaran.

"Insya-Allah kita akan lakukan mengikut apa yang diputuskan oleh mahkamah, pastinya ia satu tanggungjawab yang akan kami pikul untuk bersama-sama berbincang dan memulihkan Ibrahim," katanya pada sidang media di pejabatnya di sini, hari ini.

Zulkifli berkata, sesi bimbingan itu akan dijalankan selama enam bulan, dan selepas itu pihaknya akan mengeluarkan satu laporan khas kepada mahkamah dan badan berkaitan.

Semalam, Ibrahim membuat pengakuan bersalah dan bertaubat atas beberapa amalan ritual yang dilakukan sebelum ini.

Beliau dilaporkan berkata, semua amalan ritual kontroversi itu hanyalah simbolik dan drama yang diarahkan oleh 'orang tertentu' untuk menjaga kepentingan mereka.

Katanya, ada pihak yang mengarahkannya supaya melakukan lima drama termasuk ketika insiden kehilangan pesawat penerbangan Malaysia MH370.

Beliau mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) kerana menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina.

Permohonan maaf itu disaksikan Zulkifli, Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah (JAWI) Abdul Aziz Jusoh dan Ketua Pegawai Penguat Kuasa Agama JAWI, Wan Jaapar Wan Ahmad.

Ibrahim ditahan pegawai Jawi di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi pada 22 April lalu susulan aksi ritual terbaru dilakukannya di hadapan Institut Perubatan Forensik pada 13 Mac lalu, kononnya untuk 'memagar' Malaysia dari serangan Korea Utara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 April 2017 @ 6:58 PM