PELAJAR, ibu bapa dan masyarakat setempat hadir memberi sokongan.
PELAJAR, ibu bapa dan masyarakat setempat hadir memberi sokongan.

Lebih 2,000 pengunjung termasuk pelajar, ibu bapa dan masyarakat setempat hadir seawal jam 7.30 pagi bagi memberi sokongan kepada acara Pasar Percuma yang diadakan di Dewan Seri Delima, Sekolah Menengah Kebangsaan Senawang (SMKSE), Negeri Sembilan pada 9 April lalu.

Acara berkenaan mendapat kerjasama antara SMKSE, Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMKSE, Kindness Malaysia serta Balai Polis Senawang sekali gus mencipta sejarah sebagai Pasar Percuma terbesar dan pertama dianjurkan di sekolah sekitar Negeri Sembilan.

Bertemakan ‘bayar dengan senyuman’, seramai 40 sukarelawan Kindness Malaysia dibantu lebih 100 pelajar SMKSE dan guru menjayakan program yang terbesar yang membabitkan masyarakat setempat.

Pengetua SMKSE Omar Ahmad berkata, sebanyak 300 ‘Kit Keluarga’ berupa barangan dapur asas disediakan pihak sekolah untuk keluarga pelajar dalam kategori asnaf berdasarkan rekod sekolah turut diserahkan sepanjang program itu berlangsung.

“Program yang dijalankan berdasarkan modul Kindness School oleh Kindness Malaysia adalah antara pendekatan sekolah dalam menyediakan medium bagi pelajar dan guru untuk berkhidmat kepada masyarakat setempat.

“Ia sekali gus membantu menambah keyakinan ibu bapa dan masyarakat setempat terhadap sekolah serta tenaga pengajarnya dalam mendidik pelajar dengan melakukan kebaikan,” katanya.

Menariknya, acara berkenaan turut menarik perhatian 80 syarikat korporat, jabatan kerajaan dan individu persendirian untuk memberi sumbangan pelbagai barangan baru serta terpakai seperti pakaian, makanan asas, khidmat urutan dan sebagainya bagi menjayakan pasar itu.

Bukan itu saja, pelbagai barangan keperluan orang sakit seperti kerusi roda dan tongkat juga diserahkan kepada pihak sekolah untuk disumbangkan ke hospital atau keluarga pelajar yang memerlukan.

Pada masa sama, pelbagai jenis buku rujukan tingkatan satu sehingga lima turut disumbangkan pelajar Permata Pintar dan Universiti Kebangsaan Malaysia kepada pelajar yang akan mengambil peperiksaan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 April 2017 @ 10:03 AM