FATIN Alwani tidak gemar mengenakan sapuan bedak asas yang tebal.
FATIN Alwani tidak gemar mengenakan sapuan bedak asas yang tebal.
Hajahfarhana Tarmudi


Mekap berkuasa menutup kekurangan pada kulit jika pandai menggunakan alat solek dengan teknik betul. Malah, mekap juga mampu membuatkan wajah yang cantik semula jadi berubah menjadi jelik jika kaedah atau alat solek yang dipilih tidak bersesuaian dengan ton dan jenis kulit.

Justeru, pastikan teknik dan alat solekan digunakan betul serta bersesuaian dengan jenis kulit masing-masing sama ada berminyak, kering, normal atau kombinasi.

TEKNIK TAHAN LAMA

Tentunya kita mahukan mekap tahan lama, kekal kering dan tidak comot walaupun ketika berpeluh. Bagi memastikan mekap tahan lama, jurusolek artis Shazard luvmakeup, Muhammad Rohaizat Bahanan dan Shahrulaznan Ishak berkongsi tip menarik yang mungkin boleh membantu anda tampil menawan dalam tempoh lebih panjang.

1. Asas solekan atau primer

Sebelum mengenakan sebarang alat solek, kita perlu mengenal pasti jenis kulit sama ada kering atau berminyak supaya primer yang digunakan bersesuaian dengan kulit.

Primer mempunyai banyak fungsi dan ada pelbagai jenis. Ada primer yang direka untuk menutup lubang pori yang besar dan tidak ketinggalan juga yang dicipta bagi melembapkan kulit. Bukan itu saja, primer juga berfungsi untuk memudahkan sapuan bedak asas pada kulit.

2. Semburan pengekal mekap

Semburan pengekal mekap (setting spray) mempunyai fungsi yang lebih kurang sama dengan primer, bezanya ia dikenakan selepas anda siap bersolek.

Ada dua jenis semburan pengekal mekap daripada pelbagai jenama. Ada yang berfungsi untuk menampilkan solekan tampak kusam (matte), berkilau atau bercahaya.

Bukan itu saja, ia juga berfungsi untuk membantu menjadikan solekan tahan lebih lama. Bagi menghasilkan mekap tahan lebih lama, gunakan semburan pengekal mekap ini sebanyak tiga kali iaitu sebelum mekap, selepas menyapu rata bedak asas dan selepas siap bersolek.

Biarkan beberapa saat selepas semburan sebelum mekap dan baru memulakan sapuan alat solekan yang ingin digunakan.

3. Bedak asas

Pilih warna bedak asas yang bersesuaian dengan ton kulit dan pastikan ia diadun dengan rata. Elakkan menggunakan bedak asas yang terlalu tebal di bahagian yang sering merekah seperti tepi mulut, antara hidung dan mulut serta kawasan muka yang terlalu berminyak.

MEKAP RINGAN, SEMULA JADI

Bagi jurusolek bebas, Fatin Alwani Rusli pula, dia sangat mementingkan sapuan asas mekap sebelum melakukan olesan alat solek yang lain.

“Saya memilih untuk tidak membuat sapuan bedak asas yang tebal pada kulit bagi menjadikan solekan tampak ringan dan semula jadi.

“Selain itu, gunakan bedak tabur berbanding bedak kompak kerana cirinya yang lebih ringan. Ia bagi memastikan wajah tidak kelihatan terlalu putih atau kelabu, sekali gus menampilkan ton kulit yang asli,” katanya.

Sebaiknya, pilih bedak tabur jenis tidak berwarna (translucent) kerana boleh dipakai oleh semua ton kulit dan disapu menggunakan berus dengan teknik layangan selepas bedak asas diadun rata.

Katanya, konsep asas mekap semula jadi itu sesuai digayakan ke pelbagai majlis dan tema kerana ia lebih selamat tanpa bimbang penampilan kurang menonjol atau berlebihan.

Sementara itu, menurut jurusolek artis, Norzila Hussin, bagi mengelakkan sapuan bedak tabur tidak rata atau kelihatan bertompok, sebaiknya disapu selepas bedak asas agak kering sedikit iaitu dua atau tiga saat selepas disapu pada wajah.

“Apabila bedak asas sedikit kering, barulah sapukan bedak tabur dengan kaedah menekap dengan lembut. Selepas ditekap ke seluruh wajah, ambil berus dan ratakan bagi mendapatkan kesan mulus.

“Jangan sesekali gunakan cara menyapu bedak tabur ke atas bagi mengelakkan sapuan menjadi tidak rata dan menyebabkan wajah kelihatan comot,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Disember 2017 @ 3:28 AM