Mohamad Fahd Rahmat


Batu Pahat: Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin akan memberi perhatian segera terhadap isu pengurusan kerajaan negeri susulan pendakwaan terhadap exconya, Datuk Abd Latif Bandi di Mahkamah Sesyen pagi ini.

"Memang itu perkembangan yang saya akan beri perhatian dan sedikit masa lagi saya akan beritahu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya kedudukan pengurusan kerajaan negeri berikutan pertuduhan kes 33 pertuduhan rasuah yang dihadapi Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor itu.

Terdahulu, Abd Latif dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini terhadap 33 pertuduhan bersubahat dengan seorang perunding hartanah membabitkan nilai suapan berjumlah RM30.3 juta antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu.

Tertuduh bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 April 2017 @ 5:16 PM