FATIN bersyukur dapat kepercayaan Mamat bagi membintangi filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.
FATIN bersyukur dapat kepercayaan Mamat bagi membintangi filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan.
Oleh Ridzuan Abdul Rahman


Popularitinya bukanlah tinggi menggunung sebagaimana pelakon seangkatan yang lain, namun Fatin Syahira tetap bersyukur dengan rezekinya dalam bidang lakonan.

Mula diperkenalkan menerusi filem Rock Oo! arahan Mamat Khalid pada 2013, pelakon berusia 23 tahun ini sekali lagi tampil dalam filem terbaru arahan pengarah popular itu iaitu Rumah Pusaka Di Simpang Jalan yang mula ditayangan sejak 1 Januari lalu.

Jika di dalam Rock Oo! dia melakonkan watak gadis kampung, kali ini transformasi wataknya jelas ketara kerana Fatin melakonkan watak gadis gothik bernama Mili, anak Bik Susanti lakonan Jihan Muse dan Yeh Sekupang (Rab Khalid) dalam filem genre komedi seram itu.

"Boleh dikatakan pembahagian watak dalam filem ini sama adil untuk semua pelakon. Abang Mamat bukan suka menonjolkan sesuatu watak secara berlebihan sehingga menenggelamkan pelakon lain.

"Watak saya sebagai Mili sangat mencabar kerana selain jadi gadis gothik, saya juga kena nampak sosial seperti menghisap rokok dan ada kumpulan muzik sendiri. Memandangkan saya masih baru dan ini filem ketiga selain Rock Oo! dan Rentaz, agak sukar untuk saya mendalami karakternya.

"Tapi Abang Mamat sangat tenang apabila menerangkan pembawakan watak ini kepada saya. Dia panggil pelakon seorang demi seorang untuk bercakap mengenai karakter yang diperlukan," katanya.

Agak teruja, begitu pun Fatin yang dibesarkan di kampung mengakui kekok melakukan benda baru dalam hidupnya.

"Sebagaimana lumrah gadis gothik, saya kena menyolek muka dan menghitamkan bahagian mata. Apabila berlakon bab hisap rokok, saya rasa nak termuntah.

"Satu hari juga saya belajar cara yang betul untuk hisap rokok agar tak nampak kekok. Biarpun sudah buat yang terbaik, apakan daya ada yang kata saya masih nampak kekok.

"Saya juga lega kerana keluarga tak bantah babak itu kerana ia sekadar lakonan. Yang penting mereka percayakan saya dan tahu saya takkan buat perkara di luar batasan," katanya.

Berkongsi sambutan filem yang turut dibintangi oleh Pekin Ibrahim, Syuk SYJ, Belle Ngasri ini, Fatin berkata, ramai yang sudah menonton dan terhibur dengan jalan cerita yang ditampilkan serta lakonan mereka.

"Kawan-kawan terkejut dengan karakter saya dan menyifatkan lakonan saya bertambah baik berbanding Rock Oo!. Saya juga sudah banyak berdialog dalam filem ini," katanya.

Fatin berhasrat mencuba pelbagai watak selepas ini bagi menambah pengalaman. Dia juga semakin aktif berlakon dan baru selesai membintangi telefilem Pinang Madu bergenre komedi terbitan Global Legend.

"Cerita ini diambil berdasarkan filem Madu Tiga tapi kali ini menampilkan empat isteri. Saya melakonkan watak Maya, isteri kedua. Pelakon lain ialah Didie Alias, Chacha Maembong, Zila Bakarin dan Yassin SYJ," katanya yang boleh dihubungi menerusi Instagram Fatin Syahirah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 5:01 AM