MAMAT Khalid (tengah) bersama pelakon filem Rumah Pusaka Di Simpang JAalan.
MAMAT Khalid (tengah) bersama pelakon filem Rumah Pusaka Di Simpang JAalan.
MAMAT  mengakui filem ini diinspirasi daripada cerita
MAMAT mengakui filem ini diinspirasi daripada cerita
Oleh Ridzuan Abdul Rahman

Seperti yang diketahui ramai, Mamat Khalid sinonim dengan semangat kenegerian yang tinggi apabila sering memilih negeri Perak sebagai lokasi penggambaran filemnya.

Selepas beberapa filem seperti Rock, Zombi Kampung Pisang, Hantu Kak Limah Balik Rumah dan Amir & Loqman Pergi Ke Laut, Mamat memilih Sungai Siput pula untuk penggambaran filem Rumah Pusaka Di Simpang Jalan yang akan menemui penonton pada 1 Januari 2015.

Istimewanya, ilham Rumah Pusaka Di Simpang Jalan diambil daripada kisah benar membabitkan Allahyarham bapanya sendiri yang menghembuskan nafas terakhir ketika Mamat berusia 10 tahun.

"Ayah pergi meninggalkan kami tanpa wang pusaka yang banyak. Benda ini besar bagi kami kerana wang adalah keperluan. Untuk cerita ini, saya terfikir bagaimana kalau pusaka yang ditinggalkan itu bukan dalam bentuk wang tapi saka.

"Saya sudah lama ada rangka cerita ini dan akhirnya berjaya direalisasikan. Saya buat cerita bagaimana kalau harta pusaka yang ditinggalkan itu dalam bentuk saka, adakah akan diterima oleh warisnya," katanya.

Menurutnya, filem terbitan Arabella Sdn Bhd ini tampil dengan gaya baru dimana penggiat seni perlu berbuat sesuatu bagi menangani kelesuan penonton untuk hadir menonton filem Melayu di pawagam.

"Di dalam keadaan sekarang, kita perlu cari idea untuk tarik mereka ke pawagam. Rasanya, genre komedi masih kuat dalam kalangan peminat. Justeru, saya beri peluang kepada ramai pelakon iaitu Syuk SYJ, Jihan, Pekin, Fatin Syahira, Bell Ngasri dan ramai lagi membintangi filem ini.

"Mereka berjaya jadi keluarga yang pelik dalam cerita ini dan bagi saya rasanya setiap keluarga ada simpan rahsia yang pelik dalam hidup mereka," jelasnya.

Mamat mengakui filem ini diinspirasi daripada cerita The Addams Family, namun Rumah Pusaka Di Simpang Jalan sarat dengan unsur Kemelayuan yang tebal. Watak yang ditampilkan pula ialah Bik Susantik, Sir Merah Setongkol Jagung, Cik Nab, Markona Markisah dan ramai lagi.

"Cerita ini ada konsep dua pupu dan nilai ketimuran yang tebal. Ia sebuah komedi kekeluargaan dan sesuai ditonton oleh semua golongan. Beberapa waris yang tak dikenali telah dipanggil untuk bertemu di sebuah rumah pusaka untuk mendapatkan harta.

"Mereka saling tak kenal satu sama lain walaupun ada ikatan sepupu. Untuk dapatkan harta, mereka kena lalui beberapa syarat yang ditetapkan. Nama-nama mereka pula pelik kerana ikut keturunan dan zaman yang berbeza.

"Saya sudah buat 'test' tayangan filem ini terhadap golongan bukan Melayu dan ternyata mereka suka. Asalnya cerita ini hanya untuk telefilem, tapi saya lihat 'mood' sesuai untuk filem dan usulkan pada penerbit.

"Selepas perbincangan bersama, cerita ini akhirnya dijadikan filem. Pelakon pun memahami dan berkongsi kederat dan akan berkongsi keuntungan dengan penerbit," katanya.

Mamat berkata, pemilihan Pekin yang melakonkan dua watak sangat tepat kerana pelakon ini mampu memberikan apa yang dikehendakinya.

"Pekin berikan lakonan yang hebat. Dia berjaya buat babak yang ambil masa lapan minit dengan hanya sekali 'take'. Dia pun mulanya tak faham kenapa kena buat dua watak, tapi selepas saya jelaskan barulah dia okay.

"Filem ini ada keseimbangan kerana semua watak adalah sama dan tiada siapa yang terlalu menonjol. Inilah konsep filem saya sejak dulu. Saya lebihkan tumpuan pada solekan, kostum dan kesan khas bagi menghidupan cerita ini," katanya.

Dalam pada itu, Mamat memuji penerbit filem ini kerana terus aktif menghasilkan filem biarpun sedar pasarannya tidak menentu sekarang.

"Saya tak berani nak ramalkan filem ini meletup atau tidak kerana itu kuasa Allah. Rezeki datang daripada Dia. Apapun saya puji Arabella kerana ambil langkah terbitkan filem ini. Ini kerjasama kedua kami selepas filem Usop Wilcha Melawan Werewolf Dari Bangladesh," katanya.

Pekin pula mengakui terkejut apabila Mamat menawarkannya memegang dua watak iaitu sebagai Sir Merah Setongkol Jagung dan Rashid ketika berada di lokasi.

"Ikutkan dalam perbincangan, saya hanya ditawarkan satu watak. Sebaik sampai di lokasi, abang Mamat tawarkan saya bawa dua watak pula. Saya anggap ini sebagai cabaran dan menerimanya dengan hati terbuka," katanya.

Filem ini turut menampilkan bakat baru daripada keluarga Maembong iaitu Ahmad Bakti Ismail, 21. Dilahirkan sebagai orang kelainan upaya (OKU), Ahmad yang berkerusi roda gembira kerana berjaya memenuhi impian bergelar pelakon sebagaimana dua kakaknya, Yaya dan Emma dan adiknya, Chacha.

"Saya ikut mereka ke lokasi penggambaran dan dari situlah terdetiknya impian nak berlakon. Tahun lalu saya ikut Emma ke lokasi filem Usop Wilcha Melawan Werewolf Dari Bangladesh.

"Tanpa disangka, abang Mamat beri saya skrip dan suruh saya berlakon. Saya sudah kenal dia sejak kecil ketika dia mengarah sitkom Awie Records. Memang mengejutkan tapi peluang ini saya ambil dan takkan mempersia-siakannya," katanya.

Ahmad yang memegang watak Ali dalam Rumah Pusaka Di Simpang Jalan mengakui semakin yakin dengan bakatnya. Dia sedia menerima tawaran berlakon daripada pengarah atau penerbit lain selepas ini.

"Jangan ragu-ragu dengan kemampuan saya untuk melakonkan watak yang diberikan. Saya juga jenis berdikari dan tak suka orang layan saya seperti OKU. Abang Mamat sendiri tak pernah layan saya seperti OKU.

"Buktinya untuk berlakon filem ini, saya pergi bersendirian ke Ipoh tanpa ditemani sesiapa. Saya kemaskan beg dan hubungi teksi untuk bawa ke stesen keretapi. Dari Ipoh, saya sekali lagi hubungi teksi untuk bawa saya ke lokasi.

"Saya boleh berlakon apa saja watak dengan syarat bergantung kepada kreativiti pengarah. Setiap pengarah terbaik perlu memiliki daya kreativiti yang tinggi.

"Terus terang saya idamkan untuk berlakon watak gangster pula selepas ini. Mungkin ada yang pandang sinis tapi pengarah boleh gambarkan cerita konon saya jadi begini akibat bergaduh," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 November 2014 @ 5:01 AM