Datuk Seri Jalani Sidek

Malam Khamis lalu, pelumba berbasikal trek Azizulhasni Awang (gambar) mencipta sejarah baru negara apabila muncul juara keirin Kejohanan Trek Dunia di Hong Kong.

Ranjau dilalui atlet bergelar The Rocket Pocketman itu bukan mudah apabila dia sendiri mengakui mengambil masa 10 tahun untuk bergelar juara dunia.

Walaupun antara saya dengan dia berbeza ‘kepakaran’ bidang sukan, tetapi ada sesuatu teladan yang sangat baik boleh dipelajari dan diikuti daripada anak kampung berasal dari Dungun, Terengganu itu.

Tidak pernah mengenal erti putus asa - itu kunci kejayaan paling utama Azizul.

Sama seperti jaguh badminton negara Datuk Lee Chong Wei, Azizul juga pernah berdepan pelbagai suka duka dalam sukan diceburinya itu sebelum bergelar Raja Keirin.

Tetapi, sepanjang tempoh berdepan ranjau berduri serta kegagalan, tidak sedikitpun terlintas di fikirannya untuk berasa berputus asa.

Sebaliknya dia terus bersemangat untuk menjadi yang terbaik dan hasilnya, Azizul kini bergelar juara dunia dan mempunyai prospek besar untuk memenangi emas Olimpik Tokyo 2020.

Selain itu, kejayaan Azizul juga dibantu dengan dedikasi tinggi ditunjukkan mereka di sekelilingnya terutama jurulatih John Beasley.

Walaupun beliau ‘orang asing’, tetapi jiwa dan semangatnya untuk membantu atlet berbasikal kita melebihi segala-galanya.

Kejayaan Azizul wajar menjadi contoh terbaik untuk diikuti barisan pemain badminton kita.

Semoga kejayaannya juga dapat menjadi pemangkin semangat kepada Chong Wei menjelang Kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland, pada Ogos nanti.

Jika anda bertanya saya, tidak pernah sekalipun saya meragui kemampuan Chong Wei untuk bergelar juara dunia buat kali pertama tahun ini.

Tapi, seperti yang saya sering tekankan sebelum ini, keyakinan saja tidak cukup, sebaliknya Chong Wei perlu mendapat sokongan terbaik daripada individu sekeliling.

Individu paling penting adalah jurulatih. Tanpa jurulatih terbaik seperti Beasley, maka sinar kejayaan itu pasti tampak sukar.

Pada masa sama dalam laluannya untuk bergelar juara dunia itu, jangan dibebani dengan masalah yang boleh menggagalkan matlamatnya itu.

Antaranya termasuk perbalahan dengan Pengarah Teknikal Persatuan Badminton Malaysia (BAM) Morten Frost Hansen sebelum ini.

Meskipun berdepan masalah seperti itu, Chong Wei masih mampu memenangi Seluruh England buat kali keempat.

Begitulah persamaan Azizul-Chong Wei. Mereka mengetepikan apa saja halangan untuk menjadi yang terbaik di dunia.

Kini Azizul sudah bergelar juara dunia dan saya yakin Chong Wei sedang menunggu giliran seterusnya.

Bukan saja Chong Wei, kejayaan Azizul juga wajar menjadi pemangkin semangat kepada barisan atlet negara lain terutama menjelang Sukan SEA 2017 nanti.

Jangan sesekali mudah berputus asa. Jika anak kampung seperti Azizul mampu melakukannya, kenapa tidak anda?

Oh! lupa, saya juga anak kampung dan saya sama sekali tidak pernah malu mengakuinya. Jumpa lagi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 4:08 AM