Mohad (tiga dari kiri) menunjukkan rangka motosikal curi yang berjaya ditemui semula. FOTO Fahd Rahmat
Mohad (tiga dari kiri) menunjukkan rangka motosikal curi yang berjaya ditemui semula. FOTO Fahd Rahmat
Mohamad Fahd Rahmat


Tangkak: Geng Fikri yang terbabit dalam jenayah curi motosikal tumpas selepas enam anggota kumpulan itu yang terdiri daripada lelaki berusia 16 hingga 21 tahun ditahan polis dalam serbuan pada 29 Mac lalu di Johor dan Pahang.

Ketua Polis Daerah Tangkak Superintendan Mohad Idris Samsuri berkata, susulan itu pada 4 dan 5 April lalu dengan bantuan pasukan penyelam Polis Marin berjaya menemukan semula 10 rangka motosikal yang dibuang ke dalam Sungai Muar berhampiran Jalan Grisek- Panchor dan sebuah kolam di Kampung Gentian Teratai Sagil selain komponen motosikal yang dileraikan.

Beliau berkata, dalang utama geng berkenaan yang bekerja sebagai buruh binaan berusia 18 tahun dipercayai mengetuai geng berkenaan dan dipercayai bergiat aktif melakukan jenayah itu sejak dua tahun lalu.

"Hasil siasatan mendapat kumpulan berkenaan aktif melakukan kegiatan jenayah mereka di Bukit Gambir, Sungai Mati dan kawasan sekitar manakala ujian urin yang dijalankan mendapati suspek bebas dadah.

"Salah seorang anggota kumpulan berkenaan mempunyai satu rekod kesalahan lampau curi motosikal dan sudah dihukum serta semuanya kini direman sejak 29 April hingga hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tangkak hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 April 2017 @ 5:10 PM