LIN Dan julang gelaran sulung Terbuka Malaysia.
LIN Dan julang gelaran sulung Terbuka Malaysia.

Kuching: Jaguh badminton China, Lin Dan mengakui berasa sangat puas dan gembira kerana akhirnya berjaya menamatkan badi tidak pernah memenangi sebarang kejohanan utama di Asia Tenggara serta Terbuka Malaysia apabila berjaya mengalahkan Datuk Lee Chong Wei di Stadium Perpaduan, Petra Jaya semalam.

Menurut pemain berusia 34 tahun itu, misinya berjaya dicapai apabila tidak berdepan sebarang masalah untuk menumpaskan musuh tradisi, Chong Wei di laman sendiri yang mendapat sokongan padu ribuan penyokong tempatan.

“Misi saya untuk memenangi kejohanan utama di Asia Tenggara tercapai dan berjaya memecah kebuntuan merangkul gelaran sulung Terbuka Malaysia. Kedua-dua pemain berjaya memberikan aksi terbaik sebentar tadi (semalam),” kata pemenang pingat emas Sukan Olimpik Beijing 2008 dan London 2012 itu.

Jelasnya, walaupun kedua-dua pemain sudah melewati usia namun ia bukan satu masalah untuk memberikan persembahan pada tahap tertinggi.

“Kami sentiasa menghayati perlawanan dan bermain bersungguh-sungguh apabila berdepan antara satu sama lain. Ketika berdepan Chong Wei tidak kisah dalam kejohanan mana sekali pun, saya akan memberikan persembahan terbaik,” kata Lin Dan.

Dia yang akan beraksi pada Masters China dari 18 hingga 23 April ini juga mengakui terkejut kerana buat kali pertama mendapat sokongan padu peminat Malaysia.

“Kali ini saya rasa peminat di Malaysia turut memberi sokongan kepada saya,” kata Lin Dan yang meraikan kejayaannya dengan membuka baju di gelanggang.

Kemenangan semalam membolehkan Lin Dan terus menguasai rekod pertemuan dengan mendahului Chong Wei 26-12 sekali gus berjaya membalas dendam kekalahan 15-21, 21-11, 22-20 pada separuh akhir Olimpik Rio 2016.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:48 AM