TOYOTA Vios Challenge dirancang di empat lokasi terpilih.
TOYOTA Vios Challenge dirancang di empat lokasi terpilih.
Mohd Razlan Salleh

Individu atau pasukan lumba yang berhasrat untuk merasai dunia sebenar perlumbaan kereta kini boleh berbuat demikian dengan menyertai Toyota Vios Challenge ketika Festival Perlumbaan Toyota Gazoo Racing (TGR) yang bakal berlangsung di empat lokasi terpilih seluruh negara bermula Ogos depan.

Namun, syarat utama untuk menyertai festival yang mematuhi peraturan Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) dan dipantau Persatuan Automobil Malaysia (AAM) ini adalah setiap peserta mesti memiliki Toyota Vios Challenge yang direka khusus untuk perlumbaan ini.

Sepanjang program Vios Challenge, peserta atau pasukan akan berlumba bersama termasuk lapan selebriti tempatan antara mereka Diana Danielle, Janna Nick, Fattah Amin dan Shukri Yahya untuk bergelar juara.

Perlumbaan ini akan berlangsung di Pulau Pinang, Johor dan dua pusingan lagi di Kuala Lumpur sehingga suku pertama tahun depan.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran berkata, perlumbaan Vios ini menyediakan platfrom terbaik untuk melonjakkan imej sporty model Vios selain memupuk minat baru sukan lumba.

“Karakter sporty dan menyeronokkan yang ada pada model Vios jarang diserlahkan. Untuk itu, sempena kempen ‘All About The Drive’ yang dijalankan, kami percaya perlumbaan Toyota Vios Challenge dapat membantu kami mempamerkan sisi berkenaan bersama barisan pemandu muda yang dinamik,” katanya.

Terdahulu, model Toyota Vios Challenge dijual pada harga RM90,000 seunit yang dilengkapi kit perlumbaan dan beberapa pengubahsuaian.

Model dipertingkatkan daripada varian 1.5J MT ini ditawarkan bersama kit aerodinamik TRD, sistem ekzos, klac dan LSD, sistem suspensi TRD, rim 15 inci Enkei bersama tayar Toyo Proxes, kerusi bucket, sut lumba dan peralatan perlumbaan seperti dikehendaki FIA.

Nadi Vios Challenge turut ditala untuk meningkatkan kuasa sebanyak 10 peratus. Selain jentera, pemilik Vios Challenge juga akan diberikan enam sesi latihan oleh pelumba profesional.

Toyota Vios Challenge akan menjadi acara utama pada hujung minggu ketika berlangsungnya Festival Perlumbaan TGR.

Selain perlumbaan, ia juga membabitkan acara dan aktiviti karnival yang dipenuhi hiburan, permainan, makanan dan aktiviti lain yang menyeronokkan.

Selain itu, pengunjung juga berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai Toyota dan juga memandu uji semua model jenama berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 April 2017 @ 7:46 AM