KANAK-KANAK meletakkan bunga di atas kereta polis di tempat sebuah trak merempuh pejalan kaki di sebuah pasar raya di Stockholm, Sweden, Jumaat lalu. - AFP
KANAK-KANAK meletakkan bunga di atas kereta polis di tempat sebuah trak merempuh pejalan kaki di sebuah pasar raya di Stockholm, Sweden, Jumaat lalu. - AFP

Stockholm: Seorang lelaki Uzbekistan yang disyaki melanggar pejalan kaki dengan sebuah trak di sini dan menyebabkan empat mangsa maut pernah menyatakan simpati kepada kumpulan Daish, kata polis semalam.

Lelaki berusia 39 tahun itu juga dikehendaki kerana gagal mematuhi arahan pengusiran.

Seramai 15 mangsa cedera dalam kejadian pada Jumaat lalu itu apabila sebuah trak yang dicuri dipandu di kawasan pejalan kaki sebelum merempuh sebuah pasar raya dan terbakar.

Suspek warga Uzbekistan ditahan polis beberapa jam selepas kejadian itu.

“Kami tahu suspek pernah menyatakan simpati terhadap organisasi pengganas, antaranya kumpulan Daish,” kata ketua operasi polis kebangsaan, Jonas Hysing.

Sejak beberapa tahun lalu di Eropah, kenderaan digunakan sebagai satu senjata dalam serangan di Nice, Berlin dan London, dan Daish mengaku bertanggungjawab.

Sehingga kini tiada pihak yang mengaku sebagai dalang serangan di Stockholm itu.

Hysing memberitahu, suspek yang berasal dari Uzbekistan itu pernah memohon menjadi penduduk tetap Sweden pada 2014 tetapi ditolak.

Katanya, lelaki itu kini dikehendaki pihak berkuasa kerana melanggar arahan keluar dari negara itu.

Polis mencari lelaki itu sejak Agensi Migrasi di Nordic pada Disember lalu memberinya tempoh empat minggu untuk meninggalkan Sweden.

Dia tidak dianggap ancaman militan oleh perkhidmatan keselamatan sehinggalah serangan berkenaan. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 April 2017 @ 9:26 AM