GELARAN dan anugerah juga bawa seseorang selebriti ke fasa lebih tinggi.
GELARAN dan anugerah juga bawa seseorang selebriti ke fasa lebih tinggi.
Najiy Jefri


Berbekalkan bakat anugerah Tuhan, tidak mustahil seseorang itu mampu mencapai kemenangan hasil usaha keras dan komitmen masing-masing.

Gelaran dan anugerah juga membawa seseorang individu itu ke satu fasa yang lebih tinggi selain boleh menjenamakan mereka sebagai penghibur handalan sekali gus mencantikkan portfolio seni mereka.

BLING! kali ini menyenaraikan 10 selebriti yang banyak merangkul anugerah berprestij.

Datuk Siti Nurhaliza

Dalam sejarah penganjuran majlis anugerah di Malaysia, Datuk Siti Nurhaliza artis paling banyak membolot trofi. Ini membuatkan namanya tercatat dalam Malaysia Book of Records sebagai Anugerah Terbanyak Dimenangi Seorang Penghibur.

Melalui Anugerah Bintang Popular Berita Harian sahaja, Siti berjaya menggondol gelaran Penyanyi Wanita Popular sebanyak 13 kali bermula 1996 selain tujuh kali Bintang Paling Popular sehinggalah beliau menarik diri daripada anugerah itu.

Menerusi Anugerah Planet Muzik (APM) pula, Siti pernah menang 25 trofi, Anugerah Juara lagu (19 trofi) dan Anugerah Industri Muzik (AIM/39 trofi). Memang hebat.

Siti turut gah di luar negara seperti dalam MTV Asia Awards dan Anugerah Muzik Indonesia.

Tan Sri P Ramlee

Bagi kategori bintang veteran, Allahyarham Tan Sri Dr P Ramlee atau nama sebenarnya, Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh adalah antara tokoh seni tersohor negara yang paling awal menerima trofi di luar negara.

Bermula dengan trofi Skor Muzik Terbaik pada Festival Filem Asia Pasifik ke-3 (Hong Kong/filem Hang Tuah), Ramlee terus diiktiraf di Tokyo (Pelakon Lelaki Terbaik/ Anakku Sazali), Kuala Lumpur (Filem Komedi Terbaik/ Pendekar Bujang Lapok), Tokyo (Filem Komedi Terbaik/ Nujum Pak Belalang), Tokyo (Most Vrsatile Artiste/ Ibu Mertuaku) dan Taipei (Filem Komedi Terbaik/ Madu Tiga).

Fara Fauzana

Tiada siapa dapat menyangkal kehebatan wanita ini apabila berjaya mengekalkan trofi Penyampai Radio Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian selama sembilan tahun berturut-turut bermula 2007.

Selain berjaya mengekalkan kedudukan sebagai penyampai radio terkenal, Fara juga berjaya meraih beberapa anugerah lain menerusi kategori Pengacara TV Wanita Popular ABPBH (2005-2012) dan Hos Meletop pada Anugerah MeleTOP Era.

Maya Karin Roelcke

Wanita yang diberi jolokan puntianak jelita ini sudah hampir 15 tahun bertapak sebagai pelakon filem. Maya hebat kerana menerima pelbagai pencalonan dan trofi dalam majlis anugerah tempatan mahupun antarabangsa.

Antara pencapaian terbaiknya adalah menerusi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem ke-49 di Fukuoka, Jepun pada 2004 dan Festival Filem Estepona Fantasy and Terror 2005 di Malaga, Sepanyol.

Selain itu, Maya berjaya mencipta rekod tersendiri di Malaysia apabila pernah dua kali memenangi kategori Pelakon Wanita Terbaik pada acara berprestij Festival Filem Malaysia (FFM).

Ayda Jebat

Sepanjang bergelar anak seni, perkara paling berharga yang pernah singgah dalam hidup Ayda Jebat adalah kelangsungan sokongan yang diterima daripada peminat.

Datanglah segala ribut mahupun taufan, peminat yang menggelarkan diri mereka sebagai AJ Screamer tetap setia menyokong kerjaya wanita berusia 25 tahun ini.

Barangkali 2016 membawa tuah berganda buat empunya diri apabila banyak pencapaian seperti dalam Anugerah Planet Muzik 2016 yang berlangsung di Singapura. Ayda berjaya meraih tiga trofi kategori pilihan penonton iaitu Ikon Media Sosial, Artis Paling Popular, Lagu Paling Popular APM 2016.

Selain itu, dia juga mencuri tumpuan apabila membolot beberapa trofi pada Anugerah MeleTOP Era 2016 termasuk anugerah utama Top Top MeleTop (Wanita), Lagu MeleTop, Pelakon MeleTOP dan Drama MeleTop.

Shaheizy Sam

Diangkat sebagai Bintang Paling Popular dalam Anugerah Bintang Popular Berita harian sebanyak tiga kali membuatkan aktor hebat Shaheizy Sam berada di liga tersendiri.

Rekod cemerlangnya membuatkan dia antara aktor yang disegani hari ini selain pencapaiannya dalam majlis penganugerahan lain seperti Festival Filem Malaysia. Dengan kejayaan beliau itu, Sam hari ini mempunyai jutaan peminat tegar di Malaysia, Brunei dan Singapura.

Dayang Nurfaizah

Kejayaan demi kejayaan digapai penyanyi Dayang Nurfaizah. Momen indah adalah ketika diumumkan sebagai pemenang trofi Anugerah Juara Lagu ke-31 menerusi lagu Lelaki Teragung.

Lebih membanggakan, itu adalah kejayaan hatrik kerana buat kali ketiga berturut-turut, Dayang diumumkan sebagai pemenang trofi Vokal Terbaik, sekali gus melakar kejayaan peribadi buatnya. Dengan pencapaian itu juga bermakna Dayang sentiasa digeruni apabila muncul di pentas pertandingan seperti itu bersama penyanyi lain.

Hafiz Suip

Selepas dinobatkan sebagai juara rancangan pencarian bakat popular, Akademi Fantasia 7, Hafiz Suip, seperti enggan berhenti menambah jumlah anugerah dan pengiktirafan menambah portfolio pencapaiannya dalam bidang muzik.

Antara pencapaian terbesar yang dimenanginya adalah apabila berjaya mengungguli Anugerah Industri Muzik ke-20 dengan membawa pulang tiga anugerah iaitu Album Terbaik, Rakaman Album Terbaik dan Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu.

Malah, Hafiz juga melakar kejayaan di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) sebanyak dua kali pada 2011 dan 2013.

Datuk Sharifah Aini

Allahyarham Datuk Sharifah Aini Syed Jaafar sudah tiada lagi di dunia ini namun legasi yang ditinggalkannya cukup besar maknanya kepada peminat dan pengkarya lain.

Didengar ribuan kali sekalipun, lagu nyanyiannya tidak pernah menjemukan, antaranya Seri Dewi Malam, Bunga Tanjung, Terbang Helang dan Kau Tinggi Di Awan Biru.

Banyak trofi anugerah dimenanginya seperti Anugerah Penghibur Terbaik (Anugerah Sri Angkasa 1972-1977), Anugerah Penghibur Wanita Popular 1970-1976, 1979 (PAPITA), Pelakon Harapan Terbaik (Hapuslah Airmatamu-Festival Filem Asia-Pasifik 1977), Anugerah Seri Wirama (Anugerah Industri Muzik 2000), Anugerah Biduanita Sepanjang Zaman, Anugerah Emas ERA (Anugerah ERA 2002), Anugerah Khas Bintang Popular (Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2003) dan Anugerah Tertinggi Biduanita Negara (Anugerah Kecapi 2006).

Datuk Rosyam Nor

Umum mengenali Rosyam Nor sebagai Remy sejak kemunculan pertamanya dalam filem Gila-Gila Remaja pada 1986. Asalnya lakonan itu sekadar main-main. Hadirnya pun belum benar-benar menangkap mata dan rasa.

Namun itu adalah sebuah langkah bayi untuk ke arah sebuah kejayaan. Tapak mula ke arah sebuah penjenamaan dirinya yang dilihat gah kini.

Selepas tiga dekad, Rosyam Nor kini menikmati waktu kreativiti dan penghasilan dalam hidupnya.

Menyentuh mengenai kejayaan yang dilakar, Rosyam antara aktor yang banyak memenangi anugerah pada Festival Filem Malaysia, Anugerah Skrin TV3 dan Anugerah Bintang Popular Berita Harian menerusi kategori Pelakon Lelaki Popular dan Aktor Terbaik.

Mawi

Figura bernama Aswawi Ani atau nama komersialnya, Mawi pernah mendapat perhatian peminat dengan begitu pantas ketika membabitkan diri dalam program realiti Akademi Fantasia 3.

Fenomena Tsumawi hanya milik Mawi dan dia menjadi artis yang paling laris dan gah di pentas anugerah ketika itu.

Mawi kemudian digelar sebagai Raja SMS (Khidmat Pesanan Ringkas) kerana popular selepas mendominasi hampir semua kemenangan yang berbentuk populariti sejak 2005 hingga 2007.

Buktinya dia berjaya dua tahun berturut-turut dia dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular Berita Harian (2005 & 2006).

Walaupun masih berdiri dalam industri seni, gelombang Mawi tidak kekal lama namun siapa tahu, Mawi mungkin akan bangkit kembali pada suatu hari nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 April 2017 @ 12:47 AM