Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Orang ramai menyambut baik penguatkuasaan hukuman sebat mandatori terhadap pesalah jenayah seksual.

Mereka menganggap penambahbaikan kepada undang-undang sedia ada mampu membendung kes jenayah seksual yang semakin kerap berlaku.

Noridayu Mohd Idris, 30, yang bertugas sebagai jurutera berkata, sebat mandatori itu akan menyebabkan sesiapa saja berfikir semula untuk terbabit dengan jenayah ini.

“Pada saya penjenayah seksual ini memang patut dikenakan hukuman sebat mandatori sebab sebelum ini mungkin ada yang terlepas hukuman. Kalau kena sebat ini, sakit kan.

“Penjenayah seksual semakin ramai tidak kira tua atau muda, mereka akan berwaspada sedikit kalau nak buat perkara yang tidak elok,” katanya.

Seorang blogger, Mohd Azlan Mohd Shuib, 34, berkata, jika tidak dibendung, jenayah ini akan berleluasa.

“Saya rasa hukuman ini memang sepatutnya dilakukan kerana jenayah seksual kalau tak dibendung mungkin akan berleluasa sebab remaja sekarang pun semakin liar.

"Mungkin disebabkan penguatkuasaan undang-undang inilah, mungkin dengan akta baru ini saya rasa ia akan dapat membendung gejala ini," katanya.

Khadijah Mohamad, 39, yang juga seorang jurutera pula mahu hukuman ke atas penjenayah seksual dijatuhkan secepat mungkin.

"Bagi saya bagus dan kalau boleh undang-undang berkaitan jenayah seksual ini diperketatkan lagi dan bukannya sebat saja. Selain itu, percepatkan hukuman ke atas pesalah supaya tiada lagi penjenayah seksual di Malaysia," katanya.

Penjawat awam, Mohd Azfar Roslan, 30, juga mengakui geram dengan individu yang terbabit dengan jenayah seksual.

"Saya rasa bagus sebab sekarang ini sudah banyak berlaku kes berkaitan jenayah seksual di negara kita. Memang patut kerajaan buat pindaan untuk hukuman bagi jenayah ini.

"Hukuman itu pun tidak cukup sebab saya secara peribadi terlalu geram dengan penjenayah seksual terutamanya yang membabitkan mangsa kanak-kanak dan wanita," katanya.

Bernama melaporkan, Dewan Rakyat malam tadi meluluskan Rang Undang-Undang Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, yang antara lain memberi laluan kepada penguatkuasaan hukuman sebat mandatori terhadap pesalah jenayah seksual apabila akta itu diwartakan kelak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata di bawah pindaan akta itu, hukuman sebat mandatori boleh dikenakan ke atas pesalah yang melakukan kesalahan rogol, sumbang mahram, persetubuhan seksual bertentangan dengan aturan tabii secara rela dan tanpa kerelaan, serta kesalahan merangsang kanak-kanak kepada perbuatan kelucahan melampau.

Razali berkata pindaan rang undang-undang itu turut memperluas peruntukan di bawah Seksyen 377 CA bagi kesalahan memasukkan mana-mana bahagian badan selain zakar seperti jari atau lidah ke dalam faraj atau dubur mangsa, yang mana pesalah boleh didakwa.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2017 @ 3:55 PM
MELAKA 05 JANUARY 2016. ( MM442K / Muzium ) Cara hukuman sebat terhadap tahanan di Muzium Jabatan Penjara Malaysia di Jalan Parameswara, Melaka. NSTP/ RASUL AZLI SAMADRASUL AZLI SAMAD
MELAKA 05 JANUARY 2016. ( MM442K / Muzium ) Cara hukuman sebat terhadap tahanan di Muzium Jabatan Penjara Malaysia di Jalan Parameswara, Melaka. NSTP/ RASUL AZLI SAMADRASUL AZLI SAMAD